Zainal Mahu Cipta Sejarah Jadi Jurulatih Pertama Bawa MU Ke Pentas Final Piala Malaysia

Ketua jurulatih Melaka United FC, Zainal Abidin Hassan mahu menjadi jurulatih pertama membawa pasukan itu ke pentas final TM Piala Malaysia pada musim ini.

Apatah lagi bersempena dengan ulang tahun ke-100 Piala Malaysia, bekas pengendali Selangor dan Pahang ini enggan terlepas untuk mencipta sejarah baharu bersama Melaka United untuk ke final buat kali pertama memandangkan pencapaian terbaik skuad itu dalam saingan berprestij ini hanyalah di suku akhir sahaja.

Dengan dua kemenangan yang telah diraih dalam aksi Kumpulan C ketika ini membuktikan juara Liga Premier 2016 ini cukup serius untuk mencipta kejutan meskipun mereka agak bergelut dalam saingan Liga Super apabila menduduki tangga kelapan liga secara keseluruhan.

Pengalaman Zainal

Zainal yang telah memenangi Piala Malaysia sebanyak enam kali sebagai pemain pada era 80-an dan 90-an mengakui kejohanan ini cukup memberi seribu makna buat dirinya dan kini selaku jurulatih, beliau mahu merasai kembali kejuaraan selepas kali terakhir berjaya membimbing pasukan memenangi kejohanan ini pada musim 2014 bersama Pahang.

“Memang Piala Malaysia ini menjadi idaman semua pemain dan setiap jurulatih, semua orang mengidamkan untuk berada di pentas final kerana ini adalah piala terakhir untuk dimenangi pada setiap musim, lagi-lagi bersempena ulang tahun ke-100.

“Tetapi paling yang saya tidak boleh lupa adalah ketika saya berjaya bawa Pahang menjadi juara ketika tewaskan JDT (Johor Darul Ta’zim), kami menang dengan sepakan penalti, jadi, kemeriahan ketika itu memang seronok dan sebagai jurulatih, saya amat berbangga.

“Sekarang, saya tidak nafikan niat saya memang untuk membuat sejarah itu bersama Melaka United pula dan mereka pula tidak pernah lagi beraksi sehingga ke final, jadi saya akan cuba sedaya upaya untuk membawa sejauh mana Melaka United akan dapat pergi dalam saingan ini,” jelasnya.

Pulih dari kecederaan

Menjelang perlawanan ketiga TM Piala Malaysia yang akan kembali bersambung pada 29 Oktober ini, Zainal mengesahkan pemain tengah, Ahmad Syamim Yahya yang sebelum ini dibelenggu kecederaan sejak Julai lalu akan kembali beraksi.

Beliau menyifatkan kehadiran semula pemain berusia 31 tahun itu akan dapat memperkuatkan lagi pasukan memandangkan Gary Steven Robbat dilaporkan perlu berehat panjang susulan kecederaan buku lali sekali gus terlepas untuk beraksi dalam saingan TM Piala Malaysia.

“Alhamdulillah, Syamim akan kembali beraksi cuma saya masih kehilangan Gary yang tidak dapat beraksi hingga habis musim, jadi sedikit sebanyak dengan adanya semula Syamim selepas ini akan dapat memperkuatkan lagi pasukan.

“Sekarang yang penting adalah program perancangan daripada sekarang hingga perlawanan ketiga untuk tempoh cuti yang panjang ini, dan inilah masa untuk pemain kekalkan momentum mereka.

“InsyaAllah kami akan adakan perlawanan persahabatan selepas ini dan saya sentiasa ingatkan pemain-pemain untuk kekalkan prestasi yang mereka telah tunjukkan,” tambahnya.

Posisi terbaik

Melaka United ketika ini berada di posisi terbaik untuk mara ke pusingan kalah mati setelah mengumpul enam mata dalam kumpulan C selepas menang dalam dua perlawanan terdahulu.

Kedah Darul Aman FC dan Negeri Sembilan FC masing-masing mencatat tiga mata selain Kelantan United FC masih belum memenangi kemenangan setakat ini.

Sumber:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply