Zainal Abidin Hassan Diiktiraf Lebih Berbisa Daripada Lagenda Brazil, Pele?

Zainal Abidin Hassan Selangor

Laman Twitter Globe Soccer Awards pada 6 April lalu menyenaraikan 10 penjaring terbanyak skuad kebangsaan sepanjang zaman dan salah seorang yang termasuk di dalam senarai tersebut adalah pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan.

Bekas penyerang dan kapten Iran, Ali Daei telah mengungguli carta tersebut dengan 109 gol sepanjang karier antarabangsanya dengan pemain Juventus dan kapten Portugal, Cristiano Ronaldo sedang mengekori rapat dengan 99 gol setakat ini.

Dalam senarai tersebut hanya Cristiano Ronaldo dan kapten India, Sunil Chhetri yang masih aktif bermain, namun dilihat sedang menuju ke penghujung karier masing-masing – dengan kedua-duanya telah pun berusia 35 tahun pada ketika ini.

Pengendali Melaka United ketika ini itu berkongsi kedudukan ke-6 bersama bekas penyerang Iraq, Hussein Saeed dengan mengumpul 78 gol keseluruhan – satu gol di depan penyerang lagenda bola sepak terkenal dari Brazil, Pele.

Bekas pemain skuad kebangsaan itu telah meledak 78 gol tersebut dalam 138 penampilannya bersama Harimau Malaya dan dengan pengiktirafan ini, ia merupakan satu pencapian yang sangat menakjubkan buat arena bola sepak negara.

Selain itu, Zainal Abidin Hassan juga merupakan pemain terbaik bola sepak negara di era 80-an dan 90-an serta telah memulakan karier bola sepaknya bersama Selangor pada tahun 1980. Malah, beliau adalah pemain total yang hebat buat negara!

Pemain total adalah pemain yang boleh bermain semua peranan dengan efektif – mengambil kira sumbangan dan kemampuan melakukan tugas bertahan apabila diarahkan untuk bertahan dan mampu menjaringkan gol apabila menyerang serta berkesan memberikan servis apabila diarahkan bermain di posisi tengah.

Sepanjang kariernya sebagai pemain bersama Selangor dan Pahang, beliau telah memenangi empat Piala Malaysia, tiga kejuaraan liga serta dua kejuaraan Piala FA.

Globe Soccer Awards merupakan anugerah bola sepak tahunan anjuran Persatuan Ejen Pemain Eropah (EFAA) dan Persatuan Kelab Eropah (ECA) dan telah mula diperkenalkan sejak 2010 dan tahun lalu ia telah dilangsungkan di Dubai, UAE.

Begitupun, menurut satu lagi laman Twitter iaitu HarimauMYstats, beliau cuma merekodkan 53 gol antarabangsa untuk aksi perlawanan antarabangsa berstatus ‘A’ dan menyatakan kemungkinan laman Twitter tersebut tersalah mengambil info.

KREDIT FEATURED IMAGE: AFF SUZUKI

Baca lagi artikel kami mengenai Zainal Abidin Hassan Dan Globe Soccer Awards:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram