Zahasmi Ismail: Baki Tujuh Perlawanan Penting Buat Kelantan United

Iklan

Zahasmi

Ketua jurulatih Kelantan United, Zahasmi Ismail menganggap setiap daripada tujuh baki perlawanan Liga Premier 2020 sangat penting untuk pasukan mengutip mata dalam misi julung kali layak ke TM Piala Malaysia.

Kelantan United yang membuat penampilan pertama dalam saingan Liga Premier musim ini mempamerkan aksi konsisten pada empat perlawanan awal musim sekali gus menduduki tangga kedua liga setakat ini.

Justeru, Zahasmi enggan anak buahnya keciciran mata kerana saingan mengikut perancangan hanya akan bersambung secara separuh liga sahaja dan ketika ini mereka bersaing sengit dengan Pulau Pinang FA dan Kuala Lumpur FA.

Andai layak, bekas pengendali Kelantan FA itu menganggap ia akan menjadi satu sejarah buat Kelantan United kerana bukan mudah untuknya membentuk pasukan baharu sekali gus memberi cabaran sengit kepada pasukan lain yang lebih berpengalaman.

“Kalau kita dapat beraksi balik bulan September ni, kita ada tujuh perlawanan sahaja untuk liga dan bukan mudah sebenarnya untuk pasukan mengekalkan prestasi dalam situasi sekarang.

“Sekarang, Kelantan United di tangga kedua, dan lima teratas liga tidak termasuk Reserve Team akan layak ke Piala Malaysia, jadi tidak mustahil untuk kami rebut peluang itu, hanya perlu mengawasi pasukan seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang masih mengikuti rapat.

“Mula-mula saya latih pasukan ini dan layak ke Liga Premier, saya sasarkan untuk anak buah berjaya ke saingan CIMB Liga Super dan untuk melihat skuad ini dapat beraksi di pentas Piala Malaysia pula, sudah pasti ia akan menjadi detik bersejarah buat kami.

“Tetapi perlawanan TM Piala Malaysia akan berlangsung kalah mati satu pusingan dan macam macam boleh berlaku, jadi lebih baik saya fokus dahulu saingan liga dan baru fikir strategi seterusnya jika layak beraksi,” jelasnya.

Tambah Zahasmi, pandemik wabak COVID-19 yang berlaku ketika ini di seluruh negara benar-benar memberi cabaran kepada kariernya selaku jurulatih kerana perlu memastikan tahap kecergasan pemain terus konsisten walaupun tanpa latihan di padang.

Jelasnya, setiap pemain perlu memastikan tempoh tiga bulan ini tidak sia-sia untuk mereka mengikuti program yang telah disediakan sebelum pasukan kembali berlatih pada Ogos sekiranya medapat kelulusan pihak kerajaan.

“Memang susah sebenarnya kerana sudah terlalu lama kami tidak ke padang berlatih dan saya juga kena sentiasa peka dan mengambil tahu perkembangan setiap pemain saya.

“Cabaran utama apabila mereka kembali ke padang bulan Ogos nanti adalah bagaimana untuk mendapatkan aura perlawanan kembali sebelum mula beraksi pada September.

“Tapi apa apa pun, saya percaya kepada semu pemain saya dan mereka juga sudah faham apa yang saya inginkan, jadi saya harapkan semua akan kembali pulih seperti biasa,” ujar Zahasmi Ismail.

Kelantan United ketika ini dipisahkan tiga mata dengan Terengganu FC II yang mengungguli takhta liga manakala Pulau Pinang dan Kuala Lumpur masing-masing di tangga ketiga dan keempat dengan lapan mata.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram