Yves Vanderhaeghe ‘Tunai Janji’ Beri Luqman Hakim Debut Berdepan Anderlecht

Luqman Hakim Debut KV Kortrijk 2020

Sejak minit pertama perlawanan KV Kortrijk, saat yang dinantikan oleh penyokong bola sepak negara adalah untuk melihat aksi debut Luqman Hakim Shamsudin.

Ia akhirnya menjadi kenyataan, apabila pengendali pasukan,  Yves Vanderhaeghe telah memasukkan penyerang berusia 18 tahun itu pada minit ke-74 untuk menggantikan pertahanan, Petar Golubovic. Ketika itu, KV Kortrijk ketinggalan 0-3 kepada skuad yang dibimbing bekas kapten dan lagenda Manchester City, Vincent Kompany.

Perlawanan yang dilabel sebagai ‘Vincent vs Vincent’ itu berkesudahan dengan Anderlecht beroleh kemenangan 3-1 ke atas KV Kortrijk selepas akhirnya penyerang, Ilombe Mboyo menyumbat penalti, tiga minit menuju wisel penamat. Luqman Hakim juga terlibat dalam usaha mereka untuk akhirnya dihadiahkan sepakan penalti itu.

Ianya bukan debut yang indah buatnya apabila pasukannya tewas, namun inilah pengalaman pertamanya di pentas saingan liga di Eropah. Luqman Hakim seharusnya melihat kepada perkara positif iaitu beliau telah dimasukkan ketika pasukannya dalam usaha memburu jaringan ke atas antara kelab gergasi Belgium, Anderlecht.

Dimasukkan menggantikan pemain pertahanan, Luqman Hakim bermula di sayap kanan dan memiliki beberapa peluang untuk menonjolkan kemampuannya dalam usaha mengucar-kacirkan benteng lawan. Namun, untuk bangkit daripada ketinggalan tiga gol bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilakukan oleh mereka.

Ia adalah kekalahan ke-4 KV Kortrijk untuk saingan Jupiler Pro League musim ini dan ketika ini mereka menghuni kedudukan ke-9 liga dengan 14 mata dengan Anderlecht melonjak ke kedudukan ke-6 hasil kemenangan tersebut dengan mengumpul 17 mata – sebelum ini kedua-dua pasukan berkongsi mata di kedudukan ke-8 dan 9.

Selepas ini, De Kerels akan turun menentang pasukan di tangga ke-15 liga, Zulte Waregem pada Selasa dan adakah Luqman Hakim akan diberikan lagi peluang? Untuk aksi malam ini, difahamkan yang beliau dipanggil menyertai skuad utama selepas mereka dilihat cuba memperbaiki kesan kehilangan Terem Moffi awal bulan lalu.

Terem Moffi dilepaskan menyertai kelab di Ligue 1, FC Lorient pada 1 Oktober yang lalu. Dan selepas Luqman Hakim mempamerkan persembahan serta prestasi yang baik bersama skuad B-21 KV Kortrijk, Yves Vanderhaeghe dilihat tidak teragak-agak menyenaraikannya walaupun mengakui beliau belum bersedia untuk aksi penuh.

Katanya dalam sidang media sebelum perlawanan menentang Anderlecht, “Luqman telah menunjukkan banyak peningkatan sama ada di atas padang mahupun ketika aksi berdepan Beerschot Wilrijk [bersama skuad B-21] sebelum ini. Saya tahu, terlalu awal untuknya melakukan debut, tetapi saya juga tahu yang dia boleh diharapkan.”

“Untuk 90 minit, saya rasa dia belum bersedia. Dia tidaklah tinggi seperti pemain-pemain lain, tetapi siapa tahu yang dia mungkin berguna ketika kita memerlukan seorang yang pantas untuk membuat serangan balas,” tambahnya lagi ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan buatnya untuk memberi Luqman Hakim aksi debut.

KREDIT FEATURED IMAGE: KV KORTRIJK

Baca lagi artikel mengenai Luqman Hakim dan KV Kortrijk:

Luqman Hakim Dalam Senarai 19 Pemain KV Kortrijk Untuk Aksi ‘Vincent vs Vincent’

Luqman Hakim ‘Laga Bahu’ Erling Haaland Untuk Anugerah Golden Boy 2020

EKSKLUSIF: Ini Sebab Kenapa Luqman Hakim Belum Ke Belgium

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN