Yusri Lega Kelantan Akhirnya Raih Kemenangan Pertama

Bagaikan mimpi jadi kenyataan apabila pengendali sementara skuad The Red Warriors, Yusri Che Lah berjaya membawa pasukannya mencipta kemenangan sulung Liga Super musim ini selepas menewaskan Perak 3-2 dalam perlawanan  yang cukup dramatik.

Kelantan ketinggalan 1-2 kepada Perak pada separuh masa kedua namun ia langsung tidak mematahkan semangat juang pemain yang bersungguh-sungguh mahu lakar kemenangan di hadapan penyokong sendiri.

Jaringan hatrik daripada pemain import Korea Selatan, Do Dong Hyun berjaya menceriakan penyokong tuan rumah sekaligus mengutip 3 mata penuh.

Yusri memuji semangat juang anak buahnya dan menyifatkan ia merupakan satu perkembangan yang positif untuk menghadapi perlawanan yang akan datang.

“Malam ini (tadi) pemain bekerja keras sehingga kami mampu bangkit walaupun ketinggalan pada separuh masa pertama,” katanya.

FOTO: Kelantan FA

Dalam perlawanan itu, penyerang import Korea Selatan, Do Dong Hyun, muncul wira apabila meledakkan hatrik dalam babak kedua.

“Selain Dong, saya juga mahu memuji Badhri Radzi dan Mohammad Ghaddar kerana kehadiran mereka banyak mengubah corak permainan pasukan berbanding sebelum ini,” katanya kepada Berita Harian.

Kemenangan ini bermakna Yusri berjaya membuktikan kemampuannya sebagai jurulatih dan melakukan sesuatu yang gagal dilakukan oleh jurulatih sebelum ini, Sathit Bensoh yang dipecat.

Sementara itu, pengendali Perak, Mehmet Durokovic, mengakuir mereka tidak bernasib baik kerana anak buahnya sudah memberi tentangan sengit.

Pengendali berusia 52 tahun itu tidak menafikan rentak permainan Kelantan yang dilihat serba menjadi menyebabkan pasukannya gagal membawa pulang sebarang mata.

“Kami sudah memberi tentangan sengit namun terpaksa akur dengan kekalahan ini biarpun kami menyasarkan tiga mata,” katanya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram