Yusri Che Lah: Sikap Pemain Mampu Pengaruhi Keputusan Perlawanan

Yusri

Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah menegaskan sikap ditunjukkan barisan pemainnya ketika beraksi di padang mampu untuk menjadi faktor yang mempengaruhi keputusan dalam satu-satu perlawanan dihadapi skuad The Red Warrior itu.

Yusri turut mengingatkan kepada para pemain Kelantan yang akan berdepan UKM FC pada aksi kedua Liga Premier Malaysia 2020 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, esok agar tidak hilang tumpuan berikutan terpaksa beraksi di sebelah petang.

Satu keadaan yang mungkin sedikit luar biasa dan bakal memberikan kesukaran buat anak buahnya tetapi pengendali kelahiran Kangar itu tidak mahu ia dijadikan sebagai alasan.

“Keputusan amat bergantung kepada sikap pemain sendiri. Pemain sendiri perlu merencanakan corak permainan bermutu untuk memperoleh keputusan yang positif,” ujar Yusri kepada wakil Bernama.

“Kurangkan melakukan tindakan yang memberikan kesan tidak baik kepada pasukan, manfaatkan peluang yang ada dan cuba sedaya upaya mempertahankan gawang daripada dibolosi dengan mudah.”

Para pemain Kelantan meraikan jaringan yang dihasilkan oleh Lazarus Kaimbi pada aksi menentang Kuala Lumpur di Stadium Sultan Muhammad lV.

Dalam pada itu, Yusri turut tidak mahu anak buahnya mengambil ringan cabaran yang bakal diberikan skuad bimbingan Sulaiman Hussin itu.

“Pada perlawanan pembukaan liga, UKM FC menunjukkan prestasi yang baik sehingga mampu memperoleh tiga mata. Saya melihat pasukan itu bukan mudah untuk ditewaskan.”

Aksi sulung Liga Premier 2020 yang membuka tirainya minggu lalu menyaksikan Kelantan diikat Kuala Lumpur 1-1 di Stadium Sultan Muhammad lV.

Lazarus Kaimbi meletakkan tuan rumah di hadapan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pada minit ke-47 sebelum Francis Kone menghampakan impian Kelantan untuk mencatatkan kemenangan setelah menjaringkan gol ketika aksi berbaki dua minit untuk ditamatkan.

Sementara itu, UKM FC pula berjaya menundukkan pendatang baharu Liga Premier, Kuching FA dengan keputusan 2-1.

Kredit foto: Kelantan FA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram