Yang Di Malaysia, Tolonglah Jangan Malukan Luqman & Safawi

Luqman Safawi

Para penyokong bola sepak tanah air pada ketika ini masih berada dalam ‘mood’ teruja selepas dua pemain berbakat besar, Luqman Hakim Shamsudin dan Safawi Rasid mendapat peluang untuk berkelana ke Eropah bagi mengembangkan lagi karier mereka.

Seperti diketahui, Luqman telah menandatangani kontrak selama lima tahun bersama kelab Belgian Pro League, KV Kortrijk manakala Safawi Rasid pula menyertai Portimonense SAD yang beraksi dalam saingan Primeira Liga Portugal secara pinjaman semusim.

Sebagai peminat bola sepak tempatan, perkembangan terbaharu melibatkan dua pemain muda itu pastinya menerbitkan rasa bangga buat kita semua ketika melihat  pemain negara membawa ‘wajah bola sepak Malaysia’ di pentas Eropah.

Namun, dalam keterujaan kita mengekspresikan rasa bangga tersebut, semua pihak perlu lebih matang dan bertenang dalam memberikan sokongan terhadap perjalanan karier Luqman dan Safawi di sana.

Hal ini kerana sekiranya kita meninjau akaun media sosial rasmi seperti Facebook dan Instagram kedua-dua kelab tersebut pastinya akan ada komen daripada peminat bola sepak tempatan terutamanya bertanya bilakah Luqman dan Safawi akan beraksi bersama skuad utama.

Pelbagai ragam yang dapat kita saksikan terhadap komen yang diberi, tidak perlulah Semuanya BOLA kongsikan dengan lebih mendalam tetapi perkara itu lama kelamaan menunjukkan sikap para peminat yang ada ketika dilihat agak keterlaluan.

Bola sepak dunia sebenar bukanlah permainan video seperti PES dan FIFA di mana anda boleh terus meletakkan pemain yang baharu sahaja menyertai pasukan untuk beraksi di kesebelasan utama dalam satu-satu perlawanan.

Sehubungan dengan itu, kami kongsikan kepada anda hakikat sebenar yang perlu untuk diterima oleh penyokong bola sepak negara dalam menangani perasaan teruja berhubung perkembangan semasa ini.

Kredit foto: Team Malaysia

1) Faktor kualiti pemain dan kefahaman taktikal pasukan baharu

Walaupun Luqman dilabel sebagai pemain berbakat besar dan Safawi pula sudah menunjukkan kualitinya di pentas Asia tetapi itu bukanlah tiket buat mereka berdua akan mudah untuk mendapat tempat di hati pengendali pasukan masing-masing.

Mengambil contoh Safawi Rasid di Portimonense, adakah mudah baginya yang tidak sampai sebulan berada di sana untuk sewenang-wenangnya merampas tempat Aylton Boa Morte di posisi sayap kanan.

Anak saudara kepada Luis Boa Morte [bekas pemain Arsenal, Fulham dan West Ham United] itu sudah pun menikmati 50 penampilan bersama Portimonense sejak musim 2018/19.

Selain itu adakah wajar buat pengurus pasukan KV Kortrijk, Yves Vanderhaeghe untuk mengenepikan penyerang yang sudah meledak 93 jaringan dalam kariernya, Ilombe Mboyo untuk Luqman di mana beliau masih belum pernah membuat penampilan walau dalam kancah Liga Super? Sama-sama kita fikirkan hakikat ini.

Sudah pasti terlalu banyak ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukan oleh Luqman dan Safawi untuk membarisi skuad utama serta semua perlu sedar ia tidak semudah yang disangka.

2) Kualiti liga yang jauh berbeza

Bukan mahu merendahkan kualiti liga bola sepak tanah air, tetapi kita harus berpijak di bumi yang nyata berhubung perkara ini.

Walaupun sebahagian besar pemain skuad kebangsaan Belgium beraksi di luar negara, aksi kompetitif liga bagi negara ranking nombor satu dunia ini tidak boleh dipandang rendah. Begitu juga dengan Portugal yang mana merupakan juara Piala Eropah 2016 dan UEFA Nations League 2019.

Sudah pasti kualiti liga di kedua-dua negara tersebut menjanjikan cabaran yang cukup sukar buat Luqman dan Safawi untuk pantas menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu tersebut. Ia belum kita membicarakan tentang fizikal, pemakanan serta masalah bahasa yang pasti menghantui dua anak muda itu.

Sekiranya anda menyaksikan siaran langsung perlawanan Maritimo bertemu Portimonense pada Sabtu lalu, anda akan mengerti kesukaran bakal dihadapi Safawi susulan corak permainan cukup pantas diamalkan kedua-dua pasukan.

Pemain berkelas dunia dan berpengalaman seperti David Silva yang memulakan karier di La Liga dan kemudiannya menikmati 10 tahun pengalaman bersama Manchester City turut merasai kesukaran apabila beliau kembali ke Sepanyol pada musim ini.

Thomas Partey, Alex Telles, Hakim Ziyech, Bertrand Traore dan pemain-pemain lain yang sudah terbukti kehebatan di kelab lama mereka juga tidak terus diberikan beraksi sebagai pemain kesebelasan utama pasukan baharu mereka.

Oleh itu, berlapang dada para penyokong sekalian!

3) Bukan kisah perjalanan yang singkat untuk capai kemanisan

Berikan masa kepada pemain harapan negara ini untuk memperoleh sesuatu yang mampu untuk lebih membanggakan kita semua. Ambillah contoh seperti Son Heung-min yang pada ketika ini sudah pun bergelar bintang buat Tottenham Hotspur.

Permulaan kariernya bukanlah hadir dengan begitu pantas kerana beliau menunggu sehingga musim ketiganya bersama Hamburger SV [ lebih dikenali Hamburg] untuk memecah masuk ke skuad utama kelab Bundesliga itu.

Skrip permulaan kisah gemilang Son ini boleh dikatakan mirip Luqman apabila beliau meninggalkan Korea Selatan untuk terbang ke Jerman pada usia 16 tahun [musim 2008/09]. Menggunakan sebaiknya peluang diberikan ketika membarisi skuad bawah 17 dan 19 Hamburg, beliau telah mendapat peluang beraksi bersama skuad utama pada musim 2010/2011.

Tanpa menoleh ke belakang, Son meniti satu persatu tangga yang kini menjadikannya sebagai penjaring terbanyak bersama Liga Perdana Inggeris dengan tujuh jaringan.

Kisah ini perlu diteladani oleh Luqman dan kita sebagai penyokong seharusnya memberikan galakan dan tidak membebankannya dengan tekanan yang cukup berat. ‘Siapa yang berusaha, dia lah yang akan menikmati hasilnya’.

Begitu juga kisahnya dengan Safawi walaupun beliau hanya mempunyai semusim untuk membuktikan kehebatannya tetapi berbekalkan sedikit pengalaman bersaing di pentas antarabangsa bersama skuad kebangsaan, tiada yang mustahil namun beliau masih memerlukan masa.

4) Mula menyinar di peringkat B-23 dan 21 merupakan permulaan baik

Meskipun masih tidak berpeluang memperagakan aksi bersama skuad utama, peluang telah diberikan oleh kedua-dua pasukan ini sebenarnya petunjuk jelas bahawa Luqman dan Safawi mempunyai ruang secukupnya untuk mempamerkan apa yang mereka miliki.

Luqman telah diturunkan pada perlawanan skuad B-21 di mana beliau sendiri berjaya menjaringkan gol menerusi tandukan ketika perlawanan Liga B-21 bertemu KFCO Beerschot Wilrijk. Ia merupakan perkembangan baik buat Luqman dalam mengekalkan bisa penyudah sepertimana kebiasaan ditampilkannya ketika bersama skuad kebangsaan [peringkat remaja].

Dalam perkembangan lain di Portugal, Safawi juga telah diberikan kepercayaan diturunkan sebagai pemain kesebelasan utama buat skuad B-23 ketika bertemu kelab gergasi, Sporting Lisbon dan berpeluang beraksi sehingga minit ke-56. Walaupun mengakui corak permainan begitu pantas dan faktor fizikal menjadi halangan, Safawi dikatakan telah beraksi dengan baik pada perlawanan tersebut.

Percayalah bahawa peluang yang diberikan itu bakal mematangkan dua kebanggaan bola sepak negara ini. Sekali lagi, kita semua perlu bersabar!

Safawi Rasid Portimonense SC Primeira Liga 2020
FOTO: Portimonense SC

5) Rakyat Malaysia, sila beri kerjasama sebaiknya!

Terlalu panjang untuk dicoretkan berkenaan perkara ini, nyata semua pihak perlu bertenang dalam memberikan sokongan buat Luqman dan Safawi yang kini sedang berhempas pulas untuk mencurahkan kudrat semampu mungkin bagi membanggakan negara serta demi karier mereka sendiri.

Selain daripada menjadi penyokong yang sentiasa mendukung ‘pengembaraan’ mereka di Eropah, jadilah rakyat Malaysia yang bijak dan tidak menunjukkan ‘kebijaksanaan sendiri’ di mata peminat bola sepak di Eropah khususnya melibatkan dua negara terbabit.

Jangan bertindak seperti para penyokong Algeria yang memuji laman sosial Manchester City sekiranya terdapat gambar Riyad Mahrez manakala memaki-hamun apabila tidak kelihatan foto pemain sayap itu.

Bukanlah mahu ‘memukul rata’ semua penyokong tempatan tetapi segelintir yang berkelakuan sedemikian memperlihatkan sikap yang kurang baik disajikan oleh rakyat Malaysia. Jika tidak memaki hamun media rasmi mereka, janganlah pula diberikan lawak-lawak hambar yang menjengkelkan.

Sekiranya tiada perkara baik yang ingin diberikan kepada Luqman dan Safawi, maka diam itu lebih baik. Jangan nanti kita pula malukan mereka berdua kerana sikap kita!

Kredit featured image: Facebook KV Kortrijk & Portimonense SAD

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN