Wong Tse Yang Tangguh Pengajian, Akan Sertai Kem Latihan Skuad B-23

Masih ingat dengan nama Wong Tse Yang? Kami pernah menyiarkan berita mengenai pemain Malaysia yang beraksi di luar negara pada Mac lalu.

Kini namanya turut tersenarai dalam skuad B-23 tahun negara kendalian Datuk Ong Kim Swee apabila senarai 27 pemain yang terpilih untuk sesi latihan pusat telah diumumkan.

Sesi latihan pusat ini adalah sebagai persediaan untuk kejohanan Sukan Asia 2018 pada Ogos depan. Ia akan berlangsung dari 1 hingga 7 Julai di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Pastinya Kim Swee ingin melihat sejauh mana kemampuan penjaga gawang kelab Hong Kong Rangers atau lebih dikenali sebagai Biu Chun Rangers yang bersaing di Liga Premier Hong Kong ini.

Seperti yang semua sudah sedia maklum, Tse Yang merupakan anak kepada bekas penjaga gol skuad Olimpik negara iaitu Wong Kam Fook yang kini menetap di Hong Kong.

“Walaupun dia (Tse Yang) lahir di China, memang hasratnya untuk menabur bakti buat pasukan Harimau Malaya dan mengikut jejak saya ketika membantu Malaysia beraksi di Sukan Olimpik.

“Biarpun keluarga saya kini menetap di Hong Kong, kami sentiasa mengikuti rapat perkembangan bola sepak Harimau Malaya dan Liga M,” ujar Kam Fook kepada Berita Harian.

Menurutnya lagi, Tse Yang pernah beraksi bersama skuad Piala FA Cina Perak pada tahun 2011 iaitu ketika dia dan anaknya pulang sebentar ke negeri kelahirannya itu.

Tse Yang
FOTO: HK Rangers

Berusia 23 tahun dan merupakan pelajar tahun dua Ijazah Teknologi Maklumat di Universiti Hong Kong itu nyata teruja dengan peluang yang diperolehinya.

“Ini merupakan panggilan pertama saya. Sebelum ini saya pernah berbincang dengan jurulatih tetapi terpaksa menolak kerana pengajian saya. Kali ini saya tangguhkan pengajian terlebih dahulu.

“Pada usia 23 tahun, saya rasa kondisi fizikal saya dalam keadaan terbaik dan jika saya tidak bermula dari sekarang, pasti terlambat untuk saya berjaya dalam bola sepak.

FOTO: The Star

“Jadi saya membuat keputusan untuk menangguhkan pengajian saya buat seketika,” ujarnya sambil menyatakan dia akan berusaha keras untuk membalas kepercayaan jurulatih dan bapanya.

Selain itu, Tse Yang memaklumkan dia kini sedang mencari pasukan di Liga Malaysia (Liga M) dan sudah menjalani sesi percubaan bersama beberapa pasukan.

“Saya rasa saya perlu tunggu sehingga musim ini berakhir,” jelasnya lagi kepada The Star serta berharap aksi di Liga M akan memberikan lebih pengalaman kepadanya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram