Wolves Tambah Lagi Pemain Portugal, Pinjam Trincao Dari Barcelona

Francisco Trincao Barcelona Wolverhampton Wanderers

Peminat Liga Perdana Inggeris (EPL) berpeluang untuk menyaksikan aksi Francisco Trincao selepas Barcelona bersetuju untuk meminjamkan penyerang muda Portugal itu kepada Wolverhampton Wanderers untuk musim 2021/2022.

Dengan statusnya selaku prospek masa depan disebabkan kebolehannya beraksi di beberapa posisi di bahagian serangan, Barcelona berjaya mendapatkan pemain berusia 21 tahun ini pada Januari 2020 dengan nilai €31 juta (RM147 juta).

Dengan kelajuan, kehebatan menggelecek dan kemahiran teknikal yang menakjubkan, beliau bukan sahaja mampu menjaringkan gol, tetapi juga mempu membuat hantaran-hantaran yang berupaya menghasilkan jaringan.

Musim lalu beliau kerap diberi peluang oleh Ronald Koeman untuk beraksi dengan merekodkan tiga gol serta dua bantuan jaringan dalam 43 penampilan, seterusnya membantu pasukannya itu menjuarai Copa del Rey.

Kini beliau menjadi pemain terbaharu dari Portugal yang akan ‘memeriahkan’ pasukan Wolves di pentas bola sepak Inggeris.

Antara pemain lain dari negara itu yang pernah dibawa masuk ke Molineux ialah Roderick Miranda, Rúben Neves, Rúben Vinagre, Diogo Jota, Rui Patrício, João Moutinho, Bruno Jordão, Pedro Neto, Daniel Podence, Fabio Silva dan Vitinha.

Pasukan itu juga baru sahaja melantik pengurus baharu dari Portugal, Bruno Lage yang menggantikan Nuno Espirito Santo, yang juga dari Portugal.

“Dia adalah pemain yang cukup menarik dan kita boleh lihat adanya persaingan sihat di bahagian sayap pasukan ini,” ujar pengarah teknikal Wolves, Scott Sellers.

“Saya rasa penyokong tentu akan seronok menonton aksinya. Dia mempunyai kawalan bola yang baik dan mempunyai kreativiti yang tinggi.

“Kami telah banyak melihat aksinya, terutamanya dalam beberapa bulan kebelakangan ini, jadi dia telah berada dalam radar kami terutamanya selepas menyaksikan kualiti dan potensi yang dimiliki.”

“Dia baru berusia 21 tahun dan telah pun bermain banyak perlawanan di La Liga, jadi kami yakin dia sudah bersedia dengan liga seperti EPL.”

Trincao tidak disenaraikan bersama Portugal untuk kejohanan Euro 2020, namun beliau telah beraksi dalam setiap peringkat umur dan ketika ini merupakan pemain skuad bawah 21 tahun (B-21).

Ketika bersama skuad B-19, Trincao telah membantu pasukan kebangsaannya menjuarai kejohanan Eropah pada 2018 dan mengakhiri pertandingan tersebut selaku penjaring terbanyak dengan rekod lima dan dan turut membuat tiga bantuan jaringan.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak Eropah:

Chelsea Paling Hebat, “Supplier” Terbesar Pemain Di Separuh Akhir Euro 2020

Memahami Peranan No.6 & Statistik Luar Biasa Jorginho Lawan Belgium

Euro 2020: 4 Sebab England Akan Kecewa & “Footballs’s Coming Home” Hanya Sekadar Retorik

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply