West Ham Ikut Jejak Wolfsburg, Tandatangani Gamers Sebagai Pemain eSports FIFA Rasmi

Siapa sangka dengan hanya bermain permainan video FIFA, anda boleh menjadi pemain rasmi kelab yang anda sokong sejak dari kecil?

Inilah yang berlaku kepada Sean ‘Dragonn’ Allen, 24, yang telah menandatangani kontrak rasmi bersama West Ham sebagai pemain eSports rasmi mereka. Allen turut diberi nombor jersi ’50’ dalam senarai pasukan yang rasmi.

Ini menjadikan West Ham sebagai kelab Premier League pertama yang menandatangani pemain eSports rasmi mereka.

dragonn_726

Allen yang muncul naib juara pertandingan FIFA Interactive World Cup tahun 2015 berkata:

Saya merasa amat gembira apabila menyertai pasukan West Ham United sebagai pemain eSports rasmi mereka. Ini adalah pencapaian terbesar bagi saya.”

Reaksi Slaven Bilic

Pengurus West Ham, Slaven Bilic pula berbesar hati menerima kedatangan Dragonn sebagai pemain eSports rasmi mereka. Slaven dipetik dalam laman web rasmi The Hammers berkata:

Saya mengharapkan beliau akan dapat mewakili kelab ini sehingga ke seluruh dunia dengan penuh bangga – beliau sudah semestinya akan menerima sokongan penuh dari The Hammers,

Langkah West Ham menandatangani pemain eSports rasmi mereka ini merupakan langkah positif kelab bola sepak yang mengenalpasti potensi industri eSports sebagai salah satu cabang sukan bola sepak.

5 bulan sebelum perlantikan Allen sebagai pemain eSports rasmi West ham, kelab Bundesliga, Wolfsburg turut menandatangani pemain eSports rasmi mereka.

Bukan pemain eSports rasmi pertama

Pada Januari 2016 yang lepas, Wolfsburg telah menandatangani pemain eSports rasmi mereka, David Bytheway yang berasal dari England.

886290_681837878625400_8468708718398118849_o

Gaji Bytheway mungkin tidak sama dengan pemain-pemain bintang Wolfsburg yang lain, tetapi Bytheway tetap berpuas hati:

Saya mendapat gaji yang cukup lumayan sekarang. Mungkin ia tidaklah semahal gaji seorang pemain bola sepak sebenar kelab, namun suatu hari nanti ia mungkin berubah,

Seperti Allen, David Bytheway pula merupakan naib juara FIFA Interactive World Cup edisi 2014.

Masa depan cerah untuk gamers

Dengan industri eSports yang semakin berkembang, maka tak hairanlah West Ham dan Wolfsburg mula memperakui bakat pemain-pemain kompetitif seperti Allen dan Bytheway untuk mewakili kelab secara rasmi.

Ini adalah berita baik bagi sesiapa sahaja yang mempunyai impian untuk menjadi pemain eSports profesional.

Siapa tahu pada masa akan datang, kelab-kelab tempatan dan luar pula akan menandatangani gamers tempatan untuk mewakili mereka secara rasmi?

Nota editor: Artikel ini dituli oleh Hafiz Johar dari GamerMalaya.my. Jika anda boleh menulis artikel bola sepak dan mahu artikel anda dibaca oleh lebih 300,000 peminat bola sepak setiap bulan, hantarkan artikel anda (dalam MS Word) ke [email protected]

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram