Wes Brown: Saya Harap Son Heung-min Berada Di Manchester United

Son Heung-min

Aksi cemerlang yang dipamerkan Son Heung-min dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 pada ketika ini bukan sahaja menggembirakan peminat Tottenham Hotspur dan Korea Selatan tetapi turut membuatkan bekas pemain Manchester United, Wes Brown teruja dengan kehebatan pemain tersebut.

Pemain berusia 28 tahun itu sedang menikmati momentum hebat dalam persembahannya apabila sudah meledakkan 10 jaringan dan mencipta tiga bantuan jaringan sekali gus membantu Tottenham menghuni tangga teratas liga selepas mengharungi 11 perlawanan.

Lebih menarik, Son yang bergandingan baik bersama Harry Kane turut menjadi pemusnah harapan Manchester United pada awal bulan lalu apabila duo tersebut begitu memukau dalam membantu skuad bimbingan Jose Mourinho berpesta jaringan 6-1 di Old Trafford.

Sehubungan dengan itu, Brown yang merupakan salah seorang daripada anggota skuad juara ‘treble’ Manchester United pada musim 1998/99 amat mengagumi keupayaan Son dan mengharapkan agar pemain kelahiran Chuncheon itu dapat bersama The Red Devils.

”Cuti tugasan antarabangsa selepas kekalahan besar kepada Tottenham hadir pada waktu yang tepat [buat Manchester United],” ujar Brown menurut laporan Goal.

”Saya amat meminati Tottenham dan saya sangat menyukai Son Heung-min. Saya menyayanginya. Saya berharap dia akan berada [beraksi] di Manchester United.”

Dalam masa yang sama, Brown juga mahu kekecewaan tunduk 1-6 tempoh hari menjadi ingatan yang cukup berguna buat Manchester United pada pertemuan menentang seteru utama, Manchester City, awal pagi Ahad nanti.

”Perlawanan tersebut [bertemu Tottenham Hotspur] merupakan satu contoh terbaik yang mana anda tidak seharusnya membiarkan keputusan seperti itu berlaku.”

”Ia memberikan anda satu peringatan yang cukup besar. Sekiranya anda tidak bermain di tahap maksimum, anda akan kecundang dan pada ketika itu, ia merupakan jurang gol yang cukup besar.”

Kredit featured image: Tottenham Hotspur FC/Tottenham Hotspur FC via Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Son Heung-min:

Son Heung-min: Saya Masih Belum Layak Digelar Pemain Hebat EPL

Son Heung-Min Pemain Terbaik Dari Asia Di Ballon d’Or 2019

Son Heung-min Akui Begitu Menikmati Pengalaman ‘Khidmat Negara’

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply