Isu Pemecatan Weigang Dari Perak: Apabila Jurulatih Hilang Kawalan Di Bilik Persalinan

Weigang atau nama penuhnya, Karl Heinz Weigang bagaikan satu enigma dalam bola sepak Malaysia. Jika digabungkan reputasi 12 ketua jurulatih pasukan Liga Super 2017, ia masih tak mampu menandingi reputasi jurulatih veteran kelahiran Jerman ini di Malaysia.

Jadi jika reputasinya besar, mengapa Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) memecatnya baru-baru ini? Masa pemecatan Weigang juga seperti tak kena – sejurus selepas Perak menamatkan rekod 25 perlawanan liga tanpa kalah JDT.

Entah mengapa. Situasi ini mengingatkan saya kepada insiden pemecatan satu lagi individu enigma – Jose Mourinho – di Chelsea pada musim 2015/2016.

Imbas kembali musim Chelsea 2015/2016

Jika kita imbas kembali nasib Jose Mourinho sebelum pemecatannya dari Chelsea pada Disember 2015, pengurus enigma ini bukan sahaja dirundung masalah prestasi pasukannya di atas padang. Malah di luar padang juga.

Sebulan sebelum pemecatannya, saya pernah menulis satu artikel yang menyenaraikan semua masalah-masalah yang perlu ditangani Jose Mourinho di Chelsea pada musim 2015/2016.

Masalah-masalah tersebut adalah seperti (mengikut turutan):

  • Kes mahkamah Dr. Eva Carneiro vs Jose Mourinho
  • Denda oleh England FA
  • Bilik persalinan Chelsea bukan tempat selamat untuk Mourinho
  • Eden Hazard hilang hormat terhadap Jose Mourinho
  • Beberapa pemain Chelsea tidak suka gaya permainan defensif Mourinho
  • Krisis di bahagian pertahanan
  • Krisis di bahagian serangan juga

Kegagalan Mourinho menangani 7 masalah ini serentak adalah punca utama beliau dipecat.

Jika Mourinho hanya diberi 2-3 masalah ini serentak, mungkin beliau boleh menyelamatkan kariernya di Chelsea. Tetapi 7 masalah serentak? Saya jamin pakar motivasi juga akan mengalami tekanan hidup.

Persamaan situasi Weigang dengan Mourinho

Hipotesis saya ini mungkin kedengaran radikal. Tetapi jika kita bandingkan situasi yang dihadapi oleh Karl Weigang dan Jose Mourinho, banyak persamaan yang saya dapati.

1. Pergaduhan dengan staf pasukan

Jika Mourinho bergaduh dengan Dr. Eva Carneiro, Karl Weigang pula terkenal dengan pergaduhannya dengan staf PAFA.

Percanggahan pendapat antara staf pengurusan pasukan dengan ketua jurulatih adalah sesuatu yang normal dalam bola sepak. Tetapi jika ia dibiarkan berlarutan sehingga diketahui media, ia akan menjadi barah dalam pasukan.

Kemuncak pergaduhan Weigang dengan PAFA adalah apabila beliau menempelak PAFA yang gagal menyediakan padang latihan tetap sejak 1997.

Tetapi menurut PAFA, mereka sudah menyediakan 3 pilihan padang (Padang Majlis Bandaraya Ipoh, Manjung dan PERNAMA) untuk Weigang. Dan ketiga-tiga padang ini sedia digunakan pada bila-bila jika beliau mahu.

2. Pergaduhan dengan beberapa pemain

Jika Mourinho mempunyai krisis hubungan dengan Eden Hazard, Karl Weigang pula boleh dikatakan mempunyai krisis hubungan dengan majoriti pemain yang tak mendapat tempat kesebelasan utamanya.

Menurut sumber saya, Weigang menggugurkan Ahmad Khairil Anuar kerana kesilapan pemain tersebut yang menunjukkan kemarahannya di depan beliau di Stadium Hang Jebat pada musim lepas.

Photo by Kamarul Akhir / www.asiana.my

Jasazrin Jamaluddin pula digugurkan kerana mencadangkan kepada beliau agar latihan taktikal turut dibuat di padang latihan. Bukan setakat latihan kecergasan sahaja.

3. Hilang kawalan dalam bilik persalinan

Tidak cukup dengan memberi layanan dingin kepada pemain-pemainnya sendiri, Karl Weigang turut terkenal dengan tabiat mengkritik persembahan pemain-pemainnya secara terbuka di depan media.

Ini jugalah perkara sama yang dilakukan oleh Mourinho untuk hilang hormat pemain-pemainnya di bilik persalinan selepas mengkritik persembahan Hazard secara terbuka di media.

4. Pemain tak suka gaya permainan

Jika pemain Chelsea tak menggemari corak permainan ultra-defensif Mourinho, pemain Perak pula tak menggemari ketiadaan latihan taktikal daripada Karl Weigang.

Sumber saya memberitahu Weigang hanya memberitahu sistem apa yang pasukan akan bermain. Dan tanpa latihan taktikal di padang, pemain diharapkan untuk memberikan persembahan bagus.

Akibatnya pemain terpaksa mengharapkan pengalaman mereka sendiri untuk bermain dalam sistem yang ditetapkan oleh beliau. Tanpa mengetahui pun apa sebenarnya yang jurulatih veteran ini mahu.

5. Krisis bahagian pertahanan

Bolos 7 gol daripada 5 perlawanan (purata bolos 1.4 gol setiap perlawanan) adalah indikasi tepat untuk menggambarkan kerapuhan benteng pertahanan Perak dalam kempen Liga Super 2017 kali ini.

5 daripada 7 gol yang Perak bolos setakat ini pula berpunca dari tengah – kerana tiadanya organisasi pertahanan daripada ‘two banks of four’ Perak.

Photo by Zulkifly Abdul Hamid / www.asiana.my

Masalah ini mungkin boleh diatasi (sekurang-kurangnya) melalui latihan taktikal. Tetapi memandangkan tiada latihan sebegini dilakukan, tak hairanlah Perak baru hanya sekali mencatat clean sheet – ketika menentang Pulau Pinang.

Rumusan

Bagi saya, seorang jurulatih yang bagus perlu mempunyai dua skil yang bagus – skil kejurulatihan dan pengurusan insan (man-management).

Apabila jurulatih mempunyai skil pengurusan insan yang bagus tetapi skil kejurulatihan yang kurang bagus, pemain dan keseluruhan pasukan tidak dapat memenuhi potensi mereka.

Apabila jurulatih mempunyai skil kejurulatihan yang bagus tetapi skil pengurusan insan yang kurang bagus, pemain mungkin takut dengan jurulatihnya. Tetapi tidak akan mendapat inspirasi daripadanya.

Dalam kes Weigang (dan Mourinho) ini, pemecatan mereka bukanlah indikasi kepada skil kejurulatihan mereka. Mereka berdua merupakan jurulatih yang cemerlang.

Tetapi ia adalah indikasi bahawa – sebaik sahaja jurulatih hilang kawalan dalam bilik persalinan, apa sahaja yang mereka cakap kepada pemain akan ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Apapun terima kasih, Atok!

Nota: Pendapat dalam artikel ini adalah milik penulis. Ia tak mewakili pendapat Semuanya BOLA.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN