Warganet Malaysia Tetap Positif Walaupun Skuad Muda Negara Tewas Kepada Australia

Pasukan Bawah-18 Tahun negara muncul naib juara Kejohanan AFF B-18 selepas tewas 1-0 kepada Australia di perlawanan akhir.

Walaupun tewas, tidak boleh dinafikan pemain-pemain ini telah menampilkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan.

Tahniah daripada Presiden FAM

Antara pemain yang mencuri tumpuan sepanjang kejohanan adalah penyerang, Luqman Hakim Shamsudin; pemain pertahanan, Harith Haiqal dan ramai lagi.

Walaupun tewas di perlawanan akhir, mendahului ucapan tahniah di atas kejayaan muncul naib juara kejohanan serantau ini ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato Haji Hamidin Haji Mohd Amin.

“Para pemain sudah menampilkan aksi cemerlang serta terbaik pada perlawanan ini tetapi apa yang penting saya mahukan anda terus fokus pada perlawanan kita yang akan datang iaitu Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Kemboja pada 2-10 November ini.

“Kita tidak perlu menoleh ke belakang sebaliknya terus maju ke hadapan dengan jadikan kesilapan kekalahan ini sebagai iktibar untuk perlawanan lain selepas ini,” ujar beliau melalui satu kenyataan.

Mereka buat Malaysia bangga

Rata-rata penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan juga melahirkan rasa puas hati mereka terhadap skuad kendalian Brad Maloney ini.

Penyampai radio, Seelan Paul misalnya meluahkan rasa bangga dengan apa yang beliau saksikan, dan berharap pemain-pemain ini mendapat peluang sewajarnya untuk mengembangkan karier masing-masing di dalam dan juga luar negara.

,

Pengarah Little League Soccer, akademi bola sepak yang berpengkalan di Kuala Lumpur, Shazwan Wong pula yakin pasukan senior kebangsaan akan menerima manfaat sekiranya barisan pemain ini boleh diberikan pendedahan di luar negara.

Bagi aktivis dan blogger terkenal dikenali sebagai @padangbolasepak, kini tiba masanya pemain-pemain muda ini memperagakan kebolehan mereka kepada dunia bola sepak profesional sebenar.

Tidak ketinggalan, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman yang berpendapat pasukan ini mampu mara lebih jauh dalam pertandingan seterusnya.

Terus berusaha

Apa yang penting pasukan muda negara sentiasa berusaha untuk memajukan diri pada masa depan. Jadikan kekalahan semalam sebagai pengajaran, hari yang baru pula dijadikan lembaran baharu untuk memperbaiki diri.

Apa yang dipamerkan oleh skuad muda negara sememangnya amat membanggakan. Namun perjalanan kita masih jauh, dan ia harus menjadi usaha berterusan oleh semua pihak demi memastikan bola sepak negara terus melangkah ke hadapan.

Buat skuad muda negara, tahniah daripada kami di Semuanya BOLA. Anda membuatkan kami bangga. Sasaran seterusnya, ayuh tawan Asia!

Kredit Foto Hadapan: FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram