Wanda Nara: PSG Adalah Pilihan Terakhir Paling Buruk Untuk Icardi

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Isteri dan juga ejen kepada Mauro Icardi, Wanda Nara mendedahkan bahawa pilihan pemain itu untuk menyertai Paris Saint-Germain (PSG) adalah pilihan terakhir paling buruk yang terpaksa diambil – kerana adanya perkara lain yang perlu diberikan perhatian.

Nara mengakui Paris bukanlah destinasi pilihan beliau untuk Icardi yang melengkapkan perpindahan secara pinjaman dari Inter Milan pada hari terakhir jendela perpindahan.

Masa depan dan hala tuju Icardi adalah antara yang menjadi perhatian ramai, setelah beliau dilucutkan peranan kapten oleh kelab pada Januari lalu, sebelum disisihkan dari menyertai latihan skuad utama sejak bermulanya musim baru ini.

Juventus, Napoli, Monaco dan Atletico Madrid adalah antara kelab yang dikaitkan dengan penyerang dari Argentina itu sepanjang jendela perpindahan musim panas ini.

Inter dikatakan memberikan pilihan kepada PSG untuk mendapatkan Icardi pada nilai €70 juta pada akhir kempen musim ini.

Bagi Nara, perpindahan suaminya ke Paris bukanlah perkara yang ideal bagi diri dan keluarga.

“Jika saya menanti hingga saat akhir [risiko], ia kerana saya ada perkara lain yang perlu dipertimbangkan,” ujar Nara kepada Morfi Telefe di Argentina.

“Tidak ada sesiapa yang mengetahui, malah anak-anak juga. Mauro [Icardi] siap dengan sebuah beg kecil dan perkara lain diserahkan kepada saya untuk membuat keputusan.

“Anak-anak akan terus bersekolah di Itali. Maknanya sekarang kami akan tinggal diantara Milan dan Paris. Antara tiga pilihan yang kami miliki, PSG adalah yang paling buruk, kerana saya masih perlu berada di Milan bersama anak-anak.

“Tetapi saya perlu membuat keputusan terbaik untuk Icardi. Ada banyak kelab Itali lain yang mahukan [Icardi], dan ia boleh menjadi lebih mudah.”

Penyerang berusia 26 tahun itu menjaringkan 124 gol dari 219 penampilan untuk Inter, tetapi tidak berada di dalam perancangan Antonio Conte sejak dari pra musim lagi – sebelum dimaklumkan boleh meninggalkan San Siro.

Icardi besar kemungkinan akan tampil buat pertama kalu untuk PSG dalam perlawanan menentang Strasbourg pada 14 September hadapan.