Wan Kuzain Beri Emoji Misteri Selepas FAM Umum Dion Cools

Pemain berdarah Malaysia yang berpengkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal memuat naik satu emoji misteri sambil berkongsi pengumuman Persatuan Bola Sepak Malaysia yang mengesahkan Dion Cools sebagai pemain ke-26 yang akan menyertai pasukan negara untuk menghadapi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Emoji tanda tanya/hairan tersebut boleh sahaja membawa seribu makna. Ia juga memberi isyarat Wan Kuzain turut bersedia untuk disertakan di dalam pasukan jika menerima panggilan dari kem negara.

Wan Kuzain sebelum ini belum pernah dipanggil menyertai pasukan senior kebangsaan, namun pernah menerima panggilan pasukan B-23 negara di bawah kendalian Ong Kim Swee.

Beberapa masalah termasuk hal dokumentasi menyebabkan pemain itu tidak dapat bersama pasukan negara menghadapi kempen Sukan SEA 2019 di Filipina.

Wan Kuzain Wan Kamal bukanlah satu nama yang asing buat peminat bola sepak di Malaysia. Anak kedua kepada pasangan Melayu yang menetap di Carbondale, Illinois ini bermain untuk pasukan liga utama Amerika Syarikat (AS)iaitu Sporting Kansas City (SKC) dan kini beraksi bersama Rio Grande Valley FC.

Ketika Wan Kuzain ditemubual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM dua tahun lalu, pemain berusia 21 tahun itu mengakui beliau teruja dengan skuad muda negara yang diyakini mempunyai masa depan yang baik.

“Pasukan kebangsaan Malaysia mempunyai masa depan yang cerah. Jika lihat pasukan muda negara, mereka mendapat hasil keputusan yang cemerlang dalam beberapa kejohanan besar di Asia.

“Contohnya pasukan bawah 19 tahun dalam pertandingan sebelum ini, saya tidak ingat kejohanan apa, tetapi saya dapat tahu mereka layak ke pusingan akhir Piala Asia. Sejujurnya saya melihat pasukan itu sangat bagus.” katanya lagi.

Apabila disoal sama ada beliau berminat untuk mewakili skuad kebangsaan Malaysia, pemain yang pernah dipanggil menyertai skuad B-17 AS itu tidak menolak mengenai kemungkinan tersebut.

“Semoga satu hari nanti. Seperti yang saya katakan, bagi kedua-dua negara, saya menganggap AS memberikan makna yang besar kepada saya dan Malaysia juga begitu.

“Satu negara tidak lebih ‘tinggi’ daripada satu yang lain. Akhirnya apabila pilihan perlu dibuat, ianya sudah tentu tidak menjadi keputusan yang mudah untuk dilakukan.

“Ia memerlukan banyak perkara untuk difikirkan. Saya perlu berbincang dengan banyak pihak termasuk kawan-kawan dan keluarga. Tetapi satu hari nanti saya tetap perlu memutuskannya.”

Situasi Wan Kuzain pada ketika itu ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapak, ianya ternyata tidak mudah untuk Wan Kuzain dalam membuat pilihan.

Namun dengan perkembangan terkini dan reaksi emoji itu, adakah ianya isyarat Wan Kuzain bersedia menyarung jersi Harimau Malaya?

 

 

Baca artikel menarik lain mengenai Wan Kuzain:

Wan Kuzain: Cinta Kepada Malaysia Dan AS Tidak Lebih Antara Satu Sama Lain

Adik Wan Kuzain, Wan Kuzri Bakal Perkuat Skuad B-19 Negara?

Kuzri Wan Kamal, Adik Kepada Wan Kuzain Terpilih Sertai Latihan Skuad Remaja USA

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply