Wan Jamak: AMD Perlu Utamakan Bakat Tempatan Berbanding Pemain Berdarah Kacukan

AMD

Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) telah pun memulakan pencarian pemain berdarah kacukan di peringkat akar umbi bagi memastikan pelan F:30 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat dicapai.

Bagaimanapun, bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan dalam responnya kepada Sinar Harian mengharapkan pihak AMD dapat memberikan keutamaan kepada bakat tempatan berbanding pemain kacukan dalam program pembangunan pemain akademi elit tersebut.

Menurut Wan Jamak, AMD tidak boleh tersasar daripada tujuan asal penubuhannya untuk mencungkil bakat dalam kalangan pemain tempatan bagi melahirkan pemain yang berkualiti dan menjadi ‘pembekal’ kepada pasukan-pasukan tempatan serta skuad kebangsaan.

“Jika nak cungkil bakat, melihat perkembangan dan pembangunan, maka bakat tempatan perlu dijadikan keutamaan dan perlu sabar untuk menantikan kecemerlangan yang bakal diserlahkan pemain muda negara.

Bekas jurulatih PKNS FC itu tidak mahu AMD terlalu ghairah mengejar keputusan atau kecemerlangan semata-mata, tetapi perlu bersabar dan terus memberi peluang dan kepercayaan penuh kepada bakat tempatan untuk menyerlahkan potensi masing-masing.

Posted by National Football Development Programme – NFDP on Sunday, December 22, 2019

“Contohnya, kita tengok pemain Jepun atau Korea Selatan, mereka mana ada pernah menang kejuaraan semasa pertandingan bawah 12, 14, 15 atau 16 tahun macam pasukan AMD kita sekarang.

“Tetapi, macam mana mereka mampu layak ke kejohanan Piala Dunia Bawah 17 tahun dan Piala Dunia Bawah 20 tahun? Di sini kita nampak pembangunan dan perkembangan bakat tempatan mereka,” katanya.

AMD sebelum ini telah merekrut seorang pemain berdarah kacukan Malaysia-Nigeria dari pasukan FC Kuala Lumpur, Aidiel Zacharia Firdaus Nelson Abdullah.

Ianya dilakukan selepas pihak AMD melihat potensi besar yang dimilki pemain berusia 12 tahun itu menerusi projek pemantauan bakat di peringkat akar umbi yang dilakukan di seluruh negara.

“Kadang-kadang pemain ini ada yang cepat matang, ada yang lambat matang. Kita kena sabar cungkil bakat mereka,tengok dan gilap kekuatan manakala kelemahan yang ada diperbaiki,” katanya.

Kredit Foto: NFDP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram