Walaupun Persiapan Tak Seberapa, Kuching City Yakin Beri Saingan Kepada Selangor

Kuching City

Kapten Kuching City, Joseph Kalang Tie percaya mereka masih dalam landasan terbaik mempersiapkan diri bagi berdepan Selangor pada Sabtu bagi aksi Piala Malaysia meskipun hanya menghadapi satu sahaja perlawanan persahabatan dalam tempoh berehat selama sebulan ini.

Skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim sepatutnya berdepan satu lagi aksi persahabatan menentang Negeri Sembilan sebelum ia terpaksa dibatalkan susulan pemain dan pegawai pasukan itu disahkan positif Covid-19.

Tidak menafikan barisan pemain sebenarnya masih dahagakan perlawanan kompetitif sebelum berdepan aksi sebenar pada Sabtu ini, namun Joseph menganggap ia bukan alasan untuk Kuching City tidak mencari solusi lain bagi memastikan skuad tetap bersedia dalam apa jua keadaan.

“Kalau untuk tempoh rehat selama sebulan ini, kami hanya sempat mengadakan satu perlawanan persahabatan sahaja menentang Melaka United pada minggu lalu dan aksi berdepan Negeri Sembilan pula terpaksa dibatalkan.”

“Kalau boleh memang kami nak main lagi sebab tak cukup satu aksi sahaja, tetapi bagi saya, ia bukan alasan untuk kami tidak melakukan persediaan rapi walaupun tanpa perlawanan persahabatan yang mencukupi.”

“Nak lawan Selangor nanti bukan mudah, tetapi saya tidak mahu kami memikirkan status lawan kerana apa yang penting adalah fizikal dan mental pasukan, jadi sebolehnya Kuching City ingin elak sebarang tekanan fikirkan kekuatan lawan”, jelasnya.

Kuching City yang masih baharu dalam pentas Piala Malaysia sememangnya enggan terlepas untuk mencipta kejutan walaupun sedar pasukan berada dalam kumpulan yang sukar bersama-sama Terengganu, Selangor dan Perak.

Bagi Joseph yang pernah beraksi bersama Selangor bagaimanapun mengharapkan kehadiran mereka di pentas berprestij kali ini bukan hanya sekadar pelengkap sambil menyifatkan pasukan masih berpeluang untuk mengejar slot suku akhir.

“Banyak lagi yang kita kena perbaiki selepas pasukan seri dan tewas dalam dua perlawanan terdahulu, tetapi saya percaya dengan pengalaman yang saya dan pemain-pemain lain ada akan membantu Kuching City.

“Walaupun kami masih baharu dalam saingan ini, tetapi saya harap ada orang akan ingat yang Kuching City juga antara pasukan yang mampu jadi perhatian dalam Piala Malaysia dan saya sendiri ingin beri yang terbaik kepada pasukan.”

“Saya juga ingin penyokong tahu bahawa walaupun kami mungkin hadir sebagai pasukan yang kecil, tetapi impian kami besar untuk lihat pasukan mara sejauh mungkin”, tambahnya.

Kuching City FC ketika ini hanya meraih satu mata selepas tewas kepada Terengganu dan seri dengan Perak untuk berada di kedudukan tercorot Kumpulan B Piala Malaysia.

Kredit: MFL

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply