Wakil Mexico, Monterrey Nanti Liverpool Di Separuh Akhir Piala Dunia Kelab 2019

Liverpool akan berhadapan Monterrey di separuh akhir FIFA Piala Dunia Kelab selepas wakil dari Mexico itu menewaskan wakil tuan rumah, Al-Sadd 3-2 pada awal pagi tadi.

Bek kiri, Leonel Vangioni memberikan gol pendahulan buat Monterrey dengan jaringan ibarat roket dari jarak 35 meter, sebelum Rogelio Funes Mori menggandakan kelebihan buat kelab Mexico tersebut pada masa kecederaan babak pertama.

Baghdad Bounedjah berjaya merapatkan jurang buat Al-Sadd pada separuh masa kedua, namun Carlos Rodriguez terus memastikan kelebihan dua gol untuk Monterrey selepas itu.

Minit akhir perlawanan menyaksikan Abdelkarim Hassan sekali lagi menjarakkan jaringan buat Al-Sadd, untuk memaksa Monterrey bertahan sehingga wisel penamat, untuk menahan asakan wakil Qatar itu.

Al-Sadd yang dibimbing oleh bekas pemain dan legenda bola sepak Barcelona, Xavi akan berhadapan Esperance Sportive de Tunis pada Selasa hadapan untuk merebut tempat kelima kejohanan.

Manakala Monterrey pula akan menanti ketibaan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool di perlawanan separuh akhir pada Rabu hadapan.

Wakil Brazil, Flamengo akan berhadpan Al Hilal dari Arab Saudi dalam satu lagi perlawanan separuh akhir pada Selasa nanti.

Jika perbandingan di atas kertas dilakukan, Liverpool sepatutnya tidak mempunyai masalah mengetepikan cabaran juara Mexico, Monterrey untuk ke perlawanan akhir FIFA Piala Dunia kelab.

Perlawanan akhir kejohanan FIFA Piala Dunia Kelab 2019 dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 21 Disember akan datang di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram