‘Wake-up’ Syafiq Ahmad, Masihkah Ada Tempat Buatnya Di JDT Untuk Piala Malaysia?

Syafiq Ahmad JDT Piala Malaysia 2021

Sudah agak lama kita tidak melihat aksi terbaik Syafiq Ahmad bersama Johor Darul Ta’zim (JDT). Kali terakhir mungkin ketika mereka menjulang trofi Piala Malaysia pada edisi 2019, selepas menewaskan Kedah 3-0.

Piala Malaysia mungkin bukanlah keutamaan JDT, tetapi mentaliti juara yang ditanam dalam setiap pemain akan menyebabkan mereka akan tetap menjadi pilihan utama untuk mara sehingga ke pentas final nanti.

Tidak sukar sebenarnya kerana mereka miliki sehingga tiga lapisan barisan terbaik untuk diturunkan dan sesiapa yang diturunkan sentiasa mempamerkan aksi terbaik walaupun mereka bukanlah pilihan utama.

Kelibat Syafiq Ahmad, Safiq Rahim Antara Yang Curi Tumpuan Penyokong JDT

Adakah Syafiq Ahmad masih ada ruang untuk diturunkan dalam saingan Piala Malaysia 2021? Jawapannya ada di tangannya sendiri. Ini kerana beliau perlu berusaha lebih keras untuk kembali berada di tahap terbaik.

Pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim atau Tunku Mahkota Johor (TMJ) pernah berkata sebelum ini yang Syafiq Ahmad sudah tidak seperti dahulu lagi – sebelum beliau mengalami kemalangan tragik.

Dan dengan kenyataan yang dikeluarkannya selepas JDT meraih kemenangan kelapan mereka, menewaskan PJ City FC 2-0 sekitar Ogos lalu telah menambah kesulitan buat dirinya apabila TMJ hadir ‘menjenguknya’.

‘Seronok tengok kawan-kawan main bola’ yang diungkapnya itu menghadirkan tanggapan tidak baik bukan sahaja buat kelab malah dirinya kini. Walaupun isu ini telah selesai, tetapi bagaimana untuk dirinya bangkit?

Jika dilihat, dalam saingan Piala Malaysia 2019, Syafiq Ahmad sentiasa menjadi taruhan utama pengendali, Benjamin Mora sehingga kenyataan ini dikeluarkan, “Saya tidak risau masukkan Syafiq Ahmad untuk Diogo.”

“Syafiq [Ahmad] ketika ini adalah pemain penyerang terbaik di dalam Malaysia. Sebagai pemain nombor 9, sebagai penyerang kedua, dia juga boleh bermain di sayap dan beraksi di belakang penyerang utama. Dia boleh buat banyak tugasan [dalam padang]. Dia adalah pemain yang bagus dan dalam prestasi terbaik.

“Saya tidak risau memasukkan Syafiq tetapi sedih kerana Diogo tidak dapat meneruskan permainannya,” tegas Benjamin Mora selepas menewaskan Kedah di pentas final tanpa kelibat Diogo lebih sejam aksi.

Ini membuktikan, ketika itu, Syafiq Ahmad berada di tahap terbaiknya dan JDT tidak risau jika Diogo tiada!

Bagaimana dengan situasi terkini? Syafiq Ahmad sudah jarang diturunkan dalam saingan Liga Super. Malah kehadiran penyerang naturalisasi skuad negara, Guilherme de Paula pula semakin menyukarkan dirinya.

91 minit dalam empat aksi menandakan beliau bukan dalam pilihan pertama mahupun kedua. Jika beliau tidak bangkit semula, Piala Malaysia ini juga akan menjadi medan untuk beliau memanaskan bangku simpanan.

Semua tahu beliau dahagakan aksi dan di JDT, beliau perlu buktikan sesuatu jika mahukan aksi tersebut.

Pemilihannya dalam skuad kebangsaan yang terkini selain kenyataan daripada bekas kapten Harimau Malaya, Shukor Adan di Astro Arena membuktikan yang beliau masih wujud di mata jurulatih dan pemerhati liga.

Berusia 26 tahun dan boleh bermain dengan pelbagai peranan di jentera serangan menjadikan beliau adalah harapan skuad negara di posisi serangan. Jika beliau tetap gagal bangkit, dengan siapa lagi kita mampu harapkan untuk mengemudi jentera serangan selepas ini? Piala Malaysia ini penentu buat Syafiq Ahmad.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply