Wajah Baharu Stadium Darul Aman Untuk Kelayakan ACL 2020

Kerjasama Semuanya BOLA

Kedah FA Stadium Darul Aman ACL 2020

Untuk aksi kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020, Stadium Darul Aman kini telah berwajah baharu bagi memenuhi spesifikasi yang telah ditetapkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Terdapat beberapa kriteria yang perlu dipenuhi oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bagi membolehkan perlawanan kelayakan itu dilangsungkan di gelanggang keramat skuad Hijau Kuning pada musim ini.

Antaranya adalah bilik siaran media, bilik persalinan pemain, kerusi tempat duduk penonton, cahaya lampu limpah padang serta beberapa aspek keselamatan yang perlu dipenuhi dan dilengkapkan.

Ia sebenarnya adalah perkara asas sesebuah stadium bola sepak namun, disebabkan ia bukanlah miliki sepenuhnya persatuan dan merupakan stadium lama, ia masih ketinggalan dari segi beberapa perkara.

Untuk membolehkan aksi menentang juara Hong Kong Premier League 2019, Tai Po FC, berlangsung di Stadium Darul Aman, pihak KFA telah mengambil langkah untuk menambahbaik infrastruktur di stadium.

Selain kemudahan-kemudahan yang disebutkan tadi, KFA turut memaklumkan mengenai Zon Penampan Keselamatan yang kali pertama dilaksanakan di perkarangan dan sekeliling kawasan stadium.

Hanya pemegang tiket sah dibenarkan untuk berada di kawasan tersebut disamping tiada sebarang aktiviti komersial dibenarkan kecuali booth KFA Official Merchandise dibenarkan untuk beroperasi.

Pihak KFA juga memaklumkan, untuk musim 2020, terdapat tiga kategori dan seksyen tiket akan dijual iaitu Main Grandstand, Pavilion dan Teres dengan sistem tempat duduk bernombor akan dilaksanakan.

Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Asmirul Anuar Aris, pihaknya berpuas hati selepas melakukan tinjauan bersama Presiden KFA, Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir.

“Segala syarat utama ditetapkan AFC adalah perkara asas perlu diikuti dan dilengkapi KFA dan pihak Stadium Darul Aman sebelum bermulanya saingan kelayakan ACL ini,” ujarnya kepada Berita Harian.

“Antara pembaharuan di SDA ialah kamera litar tertutup (CCTV), papan skor LED (Full HD), bilik siaran media, bilik persalinan pemain, kerusi tempat duduk penonton, cahaya lampu limpah padang yang amat baik dan juga lain-lain persiapan termasuk aspek keselamatan ditetapkan. 

“Kesempatan meninjau keseluruhan dari segenap segi penambahbaikan dijalankan amat memuaskan hati dengan Ahli-Ahli Eksekutif KFA turut sama dalam tinjauan bagi menyaksikan sendiri perubahan dilakukan di stadium keramat skuad Hijau Kuning ini,” jelasnya lagi.

Kredit Foto: Kedah FA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Leave a Reply