Vinicius Jr: Bintang Muda Meningkat Naik Los Blancos Yang Merentasi Rejim

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Pada November tahun lalu, dua akhbar sukan terkemuka di Madrid – Marca dan Diario AS – mengemukakan satu undian dengan soalan: Patut atau tidak Vinicius Junior berada di kesebelasan utama Real Madrid untuk perlawanan La Liga seterusnya menentang Real Valladolid?

Undian itu dilakukan pada hari yang sama. Tidak dapat dipastikan adakah ianya merupakan konspirasi kedua-dua media tersebut agar Vinicius diberikan lebih peluang oleh Solari pada ketika itu.

Satu perkara yang pasti, Los Blancos memerlukan sesuatu yang segar, sesuatu yang positif selepas prestasi tidak menentu sepanjang musim. Hasil undian: 87% responden di Marca bersetuju. Manakala di AS, 90% daripada responden. Apa yang dimahukan oleh penyokong adalah jelas.

Pemain abad ke-21

Vinicius adalah pemain yang lahir di abad ke-21 pertama beraksi di La Liga untuk Real Madrid. Dilahirkan pada 12 Julai 2000, nama sebenar beliau adalah Vinicius Jose Paixao de Oliveira.

Karier peringkat awal bermula sejak usia 10 tahun bersama Club de Regatas do Flamengo – dan Vinicius terkenal di kalangan penduduk tempatan yang gilakan bola sepak sebagai pemain yang mempunyai skill dan kelincahan ketika mengawal bola.

Bakat beliau pantas menjadi perhatian antarabangsa ketika Vinicius tampil sebagai penjaring terbanyak Kejohanan Amerika Selatan Bawah-15 pada Disember 2015 dan kejohanan peringkat umur Bawah-17 dua tahun berikutnya.

Penampilan bersama kelab senior Flamengo juga tiba selepas itu, dan hanya dalam tempoh beberapa bulan, Real Madrid mulai mengetuk pintu bertanyakan khbar. Namun peraturan FIFA jelas menetapkan pemain di bawah usia 18 tahun tidak dibenarkan keluar merentasi sempadan untuk sebarang bentuk perpindahan.

Kerana itu, Vinicius hanya dibenarkan berhijrah ke Madrid pada 18 Julai 2018, dan kelibat beliau terus dilihat ketika latihan pra musim bersama-sama bintang Los Blancos yang lain seperti Gareth Bale dan Sergio Ramos.

Mengapa Real Madrid?

Bagi Vinicius, Real Madrid adalah peluang terbaik untuk mana-mana pemain yang mahu mencipta nama untuk digelar sebagai bintang bola sepak.

Ini tidak menghairankan selepas deretan bintang Brazil yang pernah menyarung jersi putih kelab tersebut seperti Ronaldo, Kaka atau Roberto Carlos. Atau pun pemain seperti Casemiro dan Marcelo – dua pemain Brazil yang meneruskan legasi samba di ibu kota Sepanyol itu.

“Saya akan berkorban apa sahaja untuk membuktikan saya layak mendapat peluang ini. Pengorbanan bukan perkara baru bagi saya.

“Saya datang dari keluarga yang sederhana, dan amat bangga dengan apa yang mereka telah lakukan untuk saya. Sekarang saya berada di kemuncak bola sepak, di Real Madrid,” ujar beliau penuh bangga ketika diumumkan sebagai pemain pada Julai lalu.

Curi tumpuan

Perlawanan pertama Vinicius untuk Real Madrid ialah di kejohanan International Champions Cup (ICC) pada tahun lalu dalam perlawanan menentang Manchester United – mengisi posisi ditinggalkan Cristiano Ronaldo yang memilih untuk berhijrah ke Itali.

Walaupun berlatih bersama skuad utama Los Blancos, Vinicius kemudiannya beraksi untuk skuad remaja Castilla. Vinicius cepat menyesuaikan diri di Sepanyol, menghasilkan empat gol dan satu bantuan gol dalam lima perlawanan pertama di divisyen ketiga negara tersebut.

Semua itu cukup meyakinkan Julen Lopetegui pada ketika sebelum memberikan debut pertama La Liga buat pemain muda itu sebagai pemain gantian dalam perlawanan derbi menentang Atletico Madrid pada September tahun lalu.

Era Solari

Selepas dinaikkan pangkar dari mengendalikan Castilla untuk mengambil alih skuad utama Los Blancos dari Lopetegui, Vinicius terus menjadi sandaran Santiago Solari.

Perlawanan pertama yang dikendalikan oleh jurulatih dari Argentina itu menyaksikan Vinicius beraksi sebagai pemain kesebelasan utama untuk membantu Real Madrid menewaskan Melilla 4-0 di pertandingan Copa del Rey.

Antara perkara yang menarik perhatian mengenai Vinicius pada ketika itu adalah kepantasan dan skill yang dimiliki beliau. Dan kali ini penampilan Vinicius turut dipuji ramai pemerhati kerana kematangan beliau diatas padang.

Beberapa siri perlawanan selepas itu turut menampilkan keyakinan dari pemain muda ini – termasuk gol kemenangan menentang Vallodolid tatkala Real kelihatan buntu sebelum itu. Vinicius juga menyerlah dalam perlawanan UEFA Champions League menentang Viktoria Plzen. Maka tidak hairanlah mengapa Vinicius tercalon sebagai salah seorang calon anugerah Golden Boy 2018.

Rumusan

Pada usia yang sangat muda, tidak semua pemain muda akan mendapat peluang membuktikan diri seperti Vinicius Jr. di Real Madrid. Malah pemain-pemain yang sememangnya sudah terlebih dahulu membuktikan diri sebelum ini pernah gagal di Bernabeu.

Antara perkara yang menyukarkan Vinicius sejak tiba di Madrid ialah pertukaran rejim – melibatkan tiga pengendali – dari Lopetegui, diikuti Solari, dan kini Zidane.

Kini terpulang kepada Zidane untuk membangunkan bakat muda dari Brazil ini.