Vincenzo Cassano, Mafia Itali Yang Bersahabat Baik Dengan J.S Park Dan Meminati Bola Sepak

Drama bersiri Korea, Vincenzo menjadi pilihan No.1 rakyat Malaysia di Netflix. Ia mengisahkan seorang peguam Itali bernama Vincenzo Cassano lakonan Song Joong-ki yang juga merupakan penasihat kepada sebuah keluarga mafia.

Disebabkan konflik yang tercetus dalam organisasinya, dia kembali ke Korea dan bergabung pula dengan seorang peguam tegas iaitu Hong Cha-young (Jeon Yeo-bin).

Bersama-sama, mereka mencapai keadilan dengan mengaplikasikan cara yang digunapakai penjahat.

Menurut ranking Netflix Global, “Vincenzo” merupakan satu-satunya k-drama yang tersenarai dalam ranking 10 program popular kini dengan kedudukan di tangga ke-9.

Bahkan ia turut menduduki tempat No 1 di beberapa negara seperti Korea Selatan, Hong Kong, Malaysia, Vietnam, Filipina, Singapura dan Taiwan.

Bola sepak dan Vincenzo

Sekiranya anda menyaksikan setiap episod drama ini setakat ini, anda pasti menyedari kemunculan watak-watak yang sinonim dengan bola sepak Itali.

Nama Vincenzo Cassano yang dipegang oleh Song Joong-Ki pun sudah menyamai nama Vincenzo Montella dan Antonio Cassano. Vincenzo Montella lebih sinonim dengan AS Roma ketika masih bergelar pemain, dan merupakan pengurus AC Milan di antara 2016-2017.

Antonio Cassano pula pernah dianggap sebagai salah seorang pemain muda berbakat besar dan pernah menyarung jersi AC Milan di antara 2012-2013. Cassano turut memiliki 35 caps bersama skuad kebangsaan Itali.

Penampilan jurulatih pasukan bernama BC Milan (seakan-akan AC Milan) dengan nama Rossi turut mencuri tumpuan. Paolo Rossi adalah legenda bola sepak Itali yang pernah beraksi untuk Milan sekitar 1985-1986.

Bintang-bintang bola sepak Itali tidak terhad di situ sahaja. Anda juga pasti tertarik dengan burung merpati yang dinamakan oleh Vincenzo sebagai Inzaghi! Ia mungkin merujuk kepada Filipo Inzaghi, atau adiknya Simone Inzaghi. Filipo Inzaghi melakukan lebih dari 200 penampilan untuk Milan.

Begitu juga dengan pelimik restoran Itali di Plaza Geumga yang bernama Toto. Di dalam bola sepak Itali, Toto adalah nama timangan kepada Salvatore Schillaci.

Beliau adalah penjaring terbanyak Kejohanan Piala Dunia 1990, dan merupakan bekas bintang Juventus dan Inter Milan.

Berdasarkan fakta di atas, tidak syak lagi penulis skrip Vincenzo iaitu Park Jae-bum adalah seorang pengikut bola sepak Itali.

Song Joong-Ki watak sesuai

Drama arahan Kim Hee-won sebanyak 20 episod ini juga memilih Song Joong-Ki sebagai watak utama yang memegang watak Vincenzo. Harus diakui Vincenzo memainkan peranan beliau dengan baik di dalam drama ini.

Sukan dan bola sepak juga bukan perkara yang asing buat Joong-Ki. Song Joong-ki yang turut pernah membintangi  dramaDescendants of the Su mempunyai pengalaman selama 12 tahun dalam sukan luncur ais, dan pernah beraksi di Sukan Kebangsaan Korea Selatan (seperti SUKMA) sebanyak tiga kali.

Malangnya cita-cita beliau untuk beralih profesional di dalam sukan itu tersekat selepas mengalami kecederaan ketika zaman sekolah tinggi.

Namun pengalaman di sukan itu masih boleh beliau gunakan di dalam drama Triple apabila beliau memegang watak sebagai atlet kebangsaan luncur ais.

Selain luncur ais, Song Joong-Ki turut amat meminati sukan bola sepak. Ketika masih berada di sekolah tinggi, apa yang Joong-Ki pedulikan hanya bola sepak dan pemuda ini tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang selebriti seperti pada hari ini.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh bekas rakan sekolah beliau, Kim Hong-woo atau turut dikenali sebagai Reddy yang merupakan artis muzik rap di Korea Selatan.

“Kami belajar di sekolah sama di peringkat rendah dan kemudiannya menengah,” kata Reddy mengenai Song Joong-Ki. “Tetapi saya tidak menamatkan pengajian dan pergi ke Seoul. Disebabkan itu kami terputus hubungan.

Menurut Reddy beliau terkejut melihat Song Joong-Ki melakukan menceburkan diri ke dalam dunia hiburan. Ini kerana sahabatnya itu tidak pernah menunjukkan minat untuk menjadi seorang selebriti sebelum ini.

“Agak mengejutkan kerana Song Joong-Ki tidak pernah menunjukkan minat terhadap industri hiburan. Dia hanya tahu untuk belajar, dan bermain bola sepak bersama kawan-kawannya. Tetapi suatu hari saya menonton TV, dan Song Joong Ki adalah seorang pelakon.”

Hubungan baik dengan J.S Park

Song Joong Ki juga dipercayai mempunyai hubungan baik dengan bekas penyerang Manchester United, Park Ji Sung. Malah Song Joong Ki adalah salah seorang artis Korea yang terlibat secara langsung dengan yayasan yang diasaskan oleh Park Ji Sung untuk membina infrastruktur bola sepak yang lebih baik di Asia Tenggara.

Dalam satu temubual di Televisyen Korea Selatan pada 2012, Joong-Ki pernah menyentuh mengenai perlawanan amal yang dilangsungkan di Thailand, dan hubungan baiknya dengan legenda Piala Dunia Korea Selatan itu.

Song Joong-Ki turut mendakwa beliau bergambar bersama Rio Ferdinand. “Saya masih berhubung rapat dengan Ji Sung. Ferdinand juga pasti masih ingat akan saya,” ujar beliau dalam tembual tersebut.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sekiranya Song Joong-Ki adalah seorang penyokong Manchester United atau pun tidak.

Penutup

Apakah nasib Inzaghi yang menghilangkan diri? Apakah kesudahan hubugan Vincenzo Cassano dengan Hong Cha-young, peguam jelita lakonan Jeon Yeo-been?

Mampukah mereka membalas dendam dan menegakkan keadilan. Ikuti dua episod terakhir pada 1 dan 2 Mei ini.

Baca artikel menarik lain daripada kami:

Son Heung-Min Pecah Rekod Lagi, Kali Ini Leburkan Rekod Park Ji Sung

‘Mimpi Ngeri’ – Pengakuan Scholes Dikawal Park Ji-Sung Dalam Latihan

Park Ji-Sung Dedahkan Perangai Rakan Sepasukan Di Man United, Neville Tak Basuh Kasut

Leave a Reply