VIDEO: Wenger, Pochettino Bergandingan Dengan Mourinho Ajar Taktik ‘Lawan’ Coronavirus

Kerjasama Semuanya BOLA

Arsene Wenger, Mauricio Pochettino dan Jose Mourinho merupakan antara jurulatih dan pengurus bola sepak yang dikenali kerana taktikal hebat mereka di atas padang.

Kali ini ketiga-tiga jurulatih ini tampil sebagai antara individu yang berada di dalam video oleh FIFA untuk menerangkan taktik menewaskan coronavirus.

Seperti semua sedia maklum, wabak coronavirus kini telah menjadi ancaman kepada penduduk dunia, dan telah mengorbankan lebih daripada 6,000 populasi di seluruh dunia.

Tetapi untuk menewaskan virus ini, nyata ia tidak sesukar taktikal di dalam bola sepak untuk difahami.

Bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger kini merupakan Ketua Pembangunan Bola Sepak Global bersama FIFA, dan semua orang dikehendaki melakukan lima taktik utama atau disiplin.

Selain Wenger, turut bersama menyampaikan lima taktik tersebut adalah bekas pengurus Tottenham Hotspur Mauricio Pochettino, Ketua Jurulatih skuad Wanita Manchester United Casey Stoney dan Ketua Jurulatih Senegal Aliou Cisse.

Pengurus Tottenham sekarang Jose Mourinho, Ketua Jurulatih pasukan wanita Amerika Syarikat, Jill Ellis dan Presiden FIFA, Gianni Infantino melengkapkan senarai individu yang melakukan penampilan di dalam video ini.

Ikuti transkrip penuh video tersebut seperti di bawah:

Arsene Wenger: “Kita semua tahu situasi ancaman coronavirus adalah serius dan semua pihak harus meletakkan kesihatan sebagai keutamaan. Di sini kita ada lima taktik utama untuk berhadapan dengan coronavirus dan saya menasihatkan anda semua untuk mengikuti setiap displin setiap masa dengan lima taktik ini.”

Mauricio Pochettino: “Ia bermula dengan tangan anda. Cuci tangan anda dengan kerap. Jikalau boleh lakukannya dengan cecair beralkohol.”

Casey Stoney: “Dengan membengkokkan siku, tutup mulut dan hidung ketika bersin atau batuk. Jika menggunakan tisu, buangkan ia dengan segera selepas ddigunakan.”

Aliou Cisse: “Untuk bahagian muka anda, elakkan menyentuh mata, hidung dan mulut. Ini untuk mengelakkan virus memasuki sistem tubuh badan.”

Jose Mourinho: “Ketika melakukan interaksi sosial, ambil satu langkah ke belakang. Kekalkan jarak 1 meter minimum dari orang lain yang batuk atau bersin.”

Jill Ellis: “Jika anda rasa tidak sihat, pastikan anda berada di rumah. Di beberapa negara, pengasingan diri dilakukan termasuk juga untuk mereka yang sihat. Ikuti nasihat terkini dari jabatan kesihatan negara masing-masing.”

Video tersebut adalah inisiatif FIFA dalam usaha badan bola sepak dunia itu memberi kesedaran kepada penduduk dunia akan kesan dan impak Coronavirus.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Coronavirus:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram