[VIDEO]: Tindakan ‘Tiada Semangat Kesukanan’ Sharbinee Allawee Dipersoal

Sharbinee Allawee Sarawak United NS FC

Reaksi dan tindakan bekas penjaga gol kebangsaan, Sharbinee Allawee menepis tangan pengadil ke-4 sejurus meninggalkan padang, semalam, telah menarik perhatian para penyokong bola sepak di Malaysia.

Penjaga gol berusia 34 tahun itu telah dibuang padang selepas sejam perlawanan antara Sarawak United dan Negeri Sembilan FC berlangsung akibat layangan kad merah atas tindakannya menerjah kaki kepada lawan.

Ia dilakukannya ketika menyambut bola di udara dan kakinya didapati di angkat tinggi dan menerjah dada pemain Negeri Sembilan, Zamri Ramli. Pengadil turut menghadiahkan sepakan penalti, namun, sepakan penalti tersebut gagal disempurnakan oleh penyerang, Francis Kone dengan rembatan melewati palang.

Dramanya bukan setakat di situ, Sharbinee Allawee yang sedang meninggalkan padang kemudian dilihat menepis tangan pengadil ke-4, P. Jeevanathan yang sedang menguruskan kemasukkan penjaga gol gantian.

Tindakan kurang profesional yang dipamerkannya itu menerima kritikan daripada penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan. Sebagai pemain berpengalaman, beliau tidak sepatutnya bertindak sedemikian rupa.

Ia kemudian bersambung dengan serangan oleh beberapa pemain dan pegawai pasukan kepada pengadil perlawanan, Mohamad Kamil Zakaria. Ia telah dirakam oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Perlawanan antara kedua-dua pasukan sememangnya sudah diduga akan menjadi panas kerana melibatkan persaingan kejuaraan Liga Premier 2021. Namun, apa yang berlaku ketika perlawanan berlangsung itu dilihat tidak mencerminkan semangat kesukanan antara kedua-dua pasukan khasnya Sharbinee Allawee.

Bukan hanya sekali, tindakan keduanya apabila menepis tangan pengadil ke-4 juga sepatutnya tidak berlaku.

Tindakan ini tidak wajar ditonjolkan kerana ia bakal menjadi contoh tidak baik kepada pemain-pemain muda dan mungkin akan menjadi ikutan pasukan-pasukan lain pula. Pelbagai reaksi dapat dilihat di media sosial.

Antaranya daripada Editor Semuanya BOLA, Gary Lugard yang mengharapkan pihak pengurusan Sarawak United dapat mengambil tindakan sewajarnya agar sikap sebegini tidak melarat sehingga ke Liga Super nanti.

Ada juga penyokong yang berkata perkara ini akan merosakkan terus reputasi baik yang sedang kembali dibina Sharbinee Allawee bersama Sarawak United. Bukan hanya dirinya, malah Sarawak United terpalit sama.

Semuanya Analisis yang melihat semula insiden tersebut turut menyatakan yang Sharbinee Allawee tampak jelas telah menggunakan kakinya sebagai senjata berbanding untuk pelindungnya sebagai penjaga gol.

Ujar Semuanya Analisis di laman Facebook mereka, “Pengadil telah mengesan insiden dengan baik. ”

1) kakinya telah terbuka tidak ditutup tetapi tetap berhati-hati kerana lutut boleh dijadikan senjata.
2) penggunaan tapak kasut ke arah dada pemain lawan
3) kemusnahan (damaged) yang dilakukan penjaga gol boleh memberi kesan kepada pemain.

Perlawanan sebegini sewajarnya lebih menarik dengan pertembungan taktikal dan jaringan gol, namun sebaliknya berlaku. Malah, layangan kad merah kepada Francis Kone juga sewajarnya tidak berlaku jika pemain itu sedar beliau sudah ada satu kad kuning. Kenapa raikan dengan membuka jersi dan kemudiannya dilayangkan kad kuning kedua? Ini turut sama menambahkan sensasi pertembungan kedua-dua pasukan.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply