Video: Tewas Di Laman Sendiri Keatas Sevilla, Manchester United Tersingkir Dari Saingan Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
Manchester United

Manchester United gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat sendiri apabila tewas 2-1 ditangan wakil Sepanyol, Sevilla pada aksi timbal balik pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

Kekalahan di Old Trafford itu mengakibatkan skuad bimbingan Jose Mourinho terpaksa menelan kepahitan tersingkir daripada saingan berprestij di Eropah itu.

Kedua-dua pasukan memperagakan aksi bertenaga dengan melancarkan serangan ke kubu lawan masing-masing, namun usaha yang dilakukan masih belum membuahkan hasil sehinggalah aksi memasuki minit ke-74.

Pemain gantian, Wissam Ben Yedder yang dimasukkan pada minit ke-72, pantas bagi memberikan impak positif apabila berjaya menghasilkan jaringan berselang dua minit selepas berada diatas padang.

Rembatan yang dilakukan pemain berdarah Tunisia-Perancis ini gagal dihalang David De Gea di gawang Manchester United.

Ben Yedder menambah jaringan kedua pada minit ke-78 menerusi tandukan yang cuba dihalang oleh De Gea, namun usaha tersebut masih gagal untuk menafikan gol kedua tersebut.

Manchester United cuba bangkit bagi merapatkan kedudukan di minit ke-84 setelah Romelu Lukaku meledakkan jaringan hasil sepakan sudut Marcus Rashford.

Bagaimanapun, jaringan tersebut masih belum mampu untuk menghalang kemaraan Sevilla untuk melayakkan diri ke peringkat suku akhir.