[VIDEO]: Teknologi ICD Yang Mungkin Dapat Bantu Aguero Atasi Masalah Jantung & Terus Beraksi

Sergio Aguero Jantung ICD

2021 menjadi tahun yang agak ‘mengerikan’ buat peminat bola sepak di seluruh dunia. Terbaharu penyerang prolifik Argentina, Sergio Aguero pula menambah senarai pemain yang mengalami masalah jantung selepas kita dikejutkan dengan insiden Cristian Eriksen ‘tumbang’ semasa kejohanan Euro 2020 yang lalu.

Aguero disahkan mengalami cardiac arrythmia atau gangguan irama jantung yang memaksa penyerang Barcelona itu berehat sekurang-kurangnya selama tiga bulan sebelum keadaannya dinilai semula.

Ini bukan kali pertama kejadian pemain bola sepak dikejutkan dengan serangan jantung. Insiden sama pernah berlaku pada Fabrice Muamba dan Daley Blind. Bahkan kita pernah dikejutkan dengan kematian Antonio Puerta dan Dani Jarque suatu ketika dahulu.

5 Pemain Bola Sepak Berprofil Tinggi Yang Mengalami Serangan Jantung

Maka antara persoalan yang timbul, mampukah Aguero kembali meneruskan kariernya sebagai pemain profesional selepas ini?

Teknologi perubatan yang semakin moden pada hari ini mungkin dapat membantu. Contohnya terdapat alat yang diberi nama ICD yang membantu pemain profesional yang menglami masalah jantung seperti Daley Blind untuk beraksi sehingga hari ini.

Bagaimana ICD ini akan berfungsi?

Implantable Cardioverter Defibrillator (ICD) merupakan alat perubatan kecil yang digunakan bagi merawat degupan jantung yang tidak normal.

Fungsi utama jantung adalah mengalirkan darah yang mengandungi oksigen dan segala jenis nutrisi ke seluruh tubuh. Jantung yang sihat akan membantu kelangsungan manusia untuk menjalani hidup secara normal.

Tetapi bagi sebahagian orang, mereka akan mengalami masalah irama jantung yang tidak normal. Ada kalanya jantung berdegup terlalu perlahan atau terlalu cepat, tidak seperti yang sepatutnya.

Dalam kes tertentu, irama jantung yang tidak normal ini telah menyebabkan serangan jantung. Ia merupaan ‘pembunuh senyap’ yang telah menyebabkan kematian jutaan nyawa di seluruh dunia.

Saiz ICD hanyalah seperti kotak mancis dan ia ‘ditanam’ pada bahagian dada pesakit. Terdapat wayar-wayar kecil pada alat ini yang akan disambung pada jantung bagi memantau kadar degupannya sepanjang masa.

Apabila ICD mengesan irama jantung yang tidak normal dan berbahaya, ia akan merawatnya dengan tiga cara bergantung kepada tahap keseriusan.

Pertama dengan menyalurkan arus elektrik yang bervoltan rendah pada kadar yang pantas untuk membetulkan semula irama jantung.

Kedua dengan memberikan satu atau lebih renjatan elektik untuk cuba mengembalikan irama jantung yang normal.

Yang ketiga pula berfungsi seperti alat defibrilator dengan memberikan satu atau lebih renjatan elektrik yang bervoltan lebih besar untuk memulihkan semula irama jantung.

Untuk memberi kefahaman yang lebih mudah, anda boleh rujuk video ini sebagai rujukan:

Aktif sukan pun boleh alami masalah jantung?

Antara kemungkinan masalah degupan jantung yang biasa dihadapi oleh golongan muda adalah kerana long qt syndromehypertrophic cardiomyopathy (HOCUM) atau arrhythmogenic right ventricular dysplasia (ARVD).

Long qt syndrome disebabkan perubahan genetik yang menyebabkan pengaliran elektrik pada jantung menjadi tidak normal.

Hypertrophic cardiomyopathy (HOCUM) pula menyebabkan dinding jantung di bahagian kanan dan kiri menebal dan menyebabkan jantung tidak pam darah dengan baik.

Kemudian arrhythmogenic right ventricular dysplasia (ARVD) adalah masalah genetik yang menyebabkan lemak masuk dalam otot kanan jantung.

Ketiga-tiga kondisi ini sangat sinonim mengakibatkan jantung pam secara tidak normal dan terus menjadikan jantung berhenti berdegup.

Kerana itulah solusi selalunya adalah utk meletakkan ICD. Fungsi ICD ini adalah utk memberi kejutan elektrik kepada jantung apabila jantung masuk fasa berdegup secara tidak normal.

Bolehkan Aguero kembali beraksi?

Dr. Mustapha Kamal, seorang pegawai perubatan di sini menjelaskan, jika dibaca dan dikaji semula garis panduan daripada European Society of Cardiology (ESC) dan American Heart Association (AHA), diagnosis rawatan bagi setiap pesakit perlu dibuat secara individu.

Dengan erti kata lain, cara atau kaedah rawatan bagi setiap pesakit itu tidak sama dan tidak boleh dipukul rata.

Walaupun ada pendapat yang mengatakan Aguero mungkin boleh kembali ke kancah bola sepak profesional dengan menggunakan teknologi ICD, hakikatnya, aktiviti berintensiti tinggi tidak disarankan bagi pesakit yang pernah mempunyai sejarah serangan jantung.

Adakah Eriksen Boleh Kembali Beraksi Dengan Rawatan ICD? Doktor Perubatan Ini Beri Pandangannya

Mungkin ada yang membandingkan dengan kemampuan Daley Blind yang mendapatkan rawatan ICD dan masih beraksi secara aktif sehingga hari ini. Tetapi itu tidak bermaksud Aguero juga mampu melakukan perkara yang sama.

Untuk menentukan tahap kemampuan jantung, ia bergantung selepas konsultasi dan pertemuan dgn pakar kardiologi.

Dr. Sanjay Sharma, pakar kardiologi sukan di Universiti St. George di London berpendapat pemain pemain bola sepak yang mengalami masalah jantung tidak seharusnya dibenarkan untuk beraksi semula dalam kancah bola sepak profesional.

Adakah Aguero bakal beraksi semula? Hanya masa akan menentukan. Ia perlu kepada pelbagai jenis ujian dan penilaian sebelum doktor boleh memberi kata putus seperti mana yang dimaklumkan oleh pihak pengurusan Barcelona.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply