[VIDEO]: Perlawanan UEL Marseille, Galatasaray Terganggu Akibat ‘Pertempuran’ Penyokong

UEL Marseille Galatasaray

Dalam sukan bola sepak, yang sepatutnya berlawan adalah 22 orang pemain di atas padang, tapi lain pula jadinya yang berlaku ketika aksi Liga Europa (UEL) di antara Marseille dan Galatasaray pada awal pagi tadi.

‘Pertempuran’ di antara penyokong kedua-dua pasukan mengakibatkan perlawanan yang berlangsung di Stade Velodrome itu terpaksa ditangguhkan sehingga memaksa pihak keselamatan dikerahkan untuk mengawal keadaan.

Kejadian tersebut tercetus bermula pada minit ke-38 apabila pelbagai objek termasuk suar dilihat berterbangan selepas dibaling oleh penyokong.

Mujurlah pihak berkuasa telah mengambil langkah pencegahan lebih awal dengan mengasingkan kawasan tempat duduk penyokong tuan rumah dan pelawat.

Pengurus Galatasaray Fatih Terim serta kapten kedua-dua pasukan, Fernando Muslera dan Dimitri Payet juga terpaksa menuju ke arah penyokong masing-masing dan meminta supaya bertenang agar perlawanan dapat diteruskan.

Perlawanan yang berlangsung dalam suasana ‘panas’ turut menyebabkan pertembungan di antara pertahanan Marseille, William Saliba dan penyerang Galatasaray, Mbaye Diagne pada masa kecederaan.

Kedua-duanya terpaksa dileraikan oleh rakan sepasukan masing-masing sebelum menerima kad kuning dan perlawanan berkesudahan seri tanpa jaringan.

Kedudukan dalam kumpulan E menyaksikan Galatasaray kini mendahului dengan pungutan empat mata selepas dua perlawanan, sementara Marseille pula di tangga kedua dengan dua mata.

Dalam satu lagi perlawanan, Lazio meraih kemenangan pertama musim ini selepas mengatasi Lokomotiv Moscow 2-0 hasil jaringan Toma Basic dan Patric pada separuh masa pertama.

Ia bukanlah kali pertama pada musim ini penyokong Marseille ‘buat hal’. Sebelum ini aksi melibatkan pasukan berkenaan menentang Nice juga menjadi huru-hara hingga menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan terus dan ditangguhkan.

Aksi pembukaan musim ini ketika Marseille menang -2 ke atas Montpellier turut menyaksikan penyokong membaling botor air ke dalam padang.

Saksikan kejadian dalam video di bawah:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply