[VIDEO]: Lihat Aksi Luqman Hakim Yang Sungguh Licik Bantu KVK Belasah KRC Harelbeke

Luqman Hakim Shamsudin tidak membuang masa selepas kembali dari tugasan antarabangsa bersama Harimau Malaya apabila terbang terus ke Belgium dari Dubai tempoh hari.

Terus menyertai rakan sepasukan di Belgium, Luqman kini sibuk dalam persiapan menghadapi musim baharu bersama KV Kortrijk (KVK).

Terbaru, Luqman terlibat di dalam satu perlawanan persahabatan menentang KRC Harelbeke, sebuah kelab yang beraksi di divisyen kedua Liga Belgium.

Walaupun tidak beraksi sebagai pemain kesebelasan utama di dalam perlawanan ini, Luqman dimasukkan pada babak kedua perlawanan pada ketika KVK sedang mendahului 3-0.

Melalui rangkuman perlawanan yang dikongsikan oleh pihak kelab, Luqman dilihat amat licik dengan beberapa gerakan yang mengelirukan pemain pertahanan lawan – walaupun bersaiz badan yang lebih besar.

Malah pada babak akhir perlawanan, Luqman telah dikasari penjaga gol KRC Harelbeke selepas pemain produk Akademi Mokhtar Dahari itu berjaya meloloskan diri untuk situasi satu lawan satu.

Luqman berpeluang untuk mengikuti penuh pra musim bersama KV Kortrijk untuk menghadapi saingan musim hadapan dengan harapan mampu mencuri tempat dan mendapatkan minit perlawanan selepas ini.

Musim lalu, penyerang berusia 19 tahun itu hanya sempat beraksi dalam satu perlawanan Jupiler Pro League apabila KV Kortrijk tewas 1-2 kepada Anderlecht.

Turut berada di dalam skuad kebangsaan buat kali pertama ketika pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang lalu, Luqman turut sempat beraksi dalam dua perlawanan di Dubai.

Luqman Hakim sah menjadi pemain Malaysia pertama menandatangani kontrak profesional di Liga Belgium selepas menandatangani kontrak 5 tahun bersama KV Kortrijk pada tahun lalu.

 

Baca artikel menarik lain melalui pautan berikut:

Rasai Pengalaman Berbeza Menonton UEFA EURO 2020™ Dengan Astro Go Interactive Mode

5 Perkara Mengenai KV Kortrijk Dan Luqman Hakim Yang Perlu Kita Tahu

Angkara Luqman Hakim, Peminat Bola Sepak Di Malaysia Dilanda ‘Demam KV Kortrijk’

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply