Di Sebalik Tabir Pembikinan Video Ketibaan Alexis Sanchez di Old Trafford

Alexis Sanchez melalui hari pertama yang sibuk bergelar pemain Manchester United.

Apa tidaknya. Dari saat tiba di bandar Manchester melalui penerbangan khas yang disediakan oleh kelab, Sanchez segera di bawa ke Kompleks Latihan AON di Carrington untuk menjalani ujian perubatan.

Selepas itu, Sanchez dikehendaki kembali ke Old Trafford untuk sesi penggambaran foto dan temuramah untuk kegunaan komersial serta melengkapkan segala dokumen untuk tujuan pendaftaran pemain.

Kaedah yang diguna pakai oleh Manchester United untuk memperkenalkan pemain telah berubah melewati zaman.

Revolusi kaedah memperkenalkan pemain

Pada 1981, ketika Manchester United mengumumkan ketibaan Bryan Robson yang merupakan rekod perpindahan British pada ketika itu dengan nilai £1.5 juta, sebuah meja disediakan di padang di hadapan ribuan penyokong tegar kelab berkenaan di Old Trafford.

(Photo by Popperfoto/Getty Images)

Pada ketika itu, kaedah memperkenalkan pemain pada era tersebut dengan kaedah sebegitu sudah dianggap sesuatu yang mengujakan.

Hari ini kaedah yang diguna pakai oleh kelab bola sepak utama dunia untuk memperkenalkan pemain baharu telah berevolusi ke tahap baru.

Hari ini ia melibatkan pengiklanan, juga sebagai pelaburan untuk menarik nilai komersial yang tinggi di dalam industri bola sepak.

Daripada era Bryan Robson, sehingga kepada Juan Mata yang mendarat penuh bergaya dengan helikopter ketika mendarat di Carrington, diikuti oleh #Pogback dan kini Alexis Sanchez, kelab seperti Manchester United mempunyai sebab tersendiri untuk memperkenalkan pemain dengan kaedah yang unik.

Ketika #Pogback dilancarkan, hashtag berkenaan telah menarik lebih daripada 635,000 interaksi di Instagram. Sebagai perbandingan, perpindahan Luis Suarez ke Barcelona telah menarik 219,000 interaksi, Gonzalo Higuain ke Juventus sebanyak 145,000 interaksi dan Gareth Bale ke Real Madrid menarik sekitar 112,000 interaksi dari seluruh dunia.

Tugas pasukan media, komersial dan pengiklanan

Keputusan-keputusan penting untuk memperkenalkan pemain untuk tujuan komersial oleh Manchester United dilakukan oleh sepasukan pasukan yang bertanggungjawab perihal komersial yang berpengkalan di pejabat United di London Mayfair, dan bukannya di Manchester.

Pasukan ini bertanggungjawab untuk menghasilkan secara kreatif slogan yang akan diguna pakai, memes, dan juga kempen hashtag di media sosial seperti REUNITED dan juga #Pogback.

“Interaksi dengan penyokong bukan sekadar sebahagian daripada tugas kami; ia adalah segala-galanya yang kami lakukan,” ujar Richard Arnold yang merupakan Pengarah Pengurusan Manchester United.

Antara tugas Richard Arnold ialah untuk menamatkan perjanjian penajaan dengan beberapa syarikat, melakukan promosi besar-besaran seperti ketibaan Alexis Sanchez, dan mengharapkan pulangan yang lebih lumayan melalui rundingan penajaan daripada pihak lain.

Demikianlah kepentingan interaksi dengan penyokong dari seluruh dunia buat kelab seperti Manchester United. Maka tidak hairanlah Manchester United dinobatkan buat tahun ke-10 secara berturut-turut sebagai kelab terkaya di dunia oleh agensi Deloitte , dengan keuntungan turut dijana hasil daripada kerja komersial.

Sepanjang 12 bulan yang lalu, kelab tersebut telah mengumpul €676 juta keuntungan, mencatatkan peningkatan €54.5 juta pada musim sebelumnya.

Keuntungan sebegini tidak akan datang tanpa interaksi bersama penyokong. Di dalam industri bola sepak, jumlah interaksi bersama penyokong akan meyakinkan pemegang taruh untuk meletakkan pelaburan yang tinggi.

Kepentingan interaksi

Dalam erti kata lain, jenama-jenama yang tidak mempunyai kaitan dengan bola sepak berkongsi populariti dengan dengan menjadi rakan niaga untuk menarik keuntungan.

Kaedah menarik interaksi daripada penyokong dan peminat daripada seluruh dunia oleh Manchester United dan jumlah yang memberi interaksi melalui medium media sosial semakin meningkat, terutamanya ketika pengenalan pemain baharu.

Ia sekaligus turut memberi keyakinan kepada pemain terbaik dunia untuk menyertai mereka, menyedari jumlah penyokong yang ramai melalui jumlah interaksi tersebut.

Sentimen yang dimainkan oleh United amat mudah. “Kami adalah kelab terbesar dunia. Interaksi ini adalah buktinya.” Sekurang-kurangnya langkah ini sudah meyakinkan pemain seperti Pogba untuk memilih untuk ke Old Trafford dan bukan Real Madrid.

Alexis Sanchez: Di sebalik tabir

Pada Ahad lalu, Stadium Old Trafford ditutup untuk lawatan daripada pengunjung stadium (stadium tour), bagi memberi laluan kepada pasukan komersial United dan MUTV menyambut ketibaan Alexis Sanchez.

Anda boleh menyaksikan rakaman di sebalik tabir ketibaan Alexis Sanchez melalui pautan video di atas.

Timbul juga persoalan di kalangan penyokong-penyokong Red Devils, mengapakah kelab berkenaan mengambil masa yang lama untuk memperkenalkan pemain tersebut, walaupun perpindahan Sanchez telah disahkan oleh Arsene Wenger dan juga Jose Mourinho.

Kami percaya ianya disengajakan oleh pasukan yang bertanggungjawab ke atas pengiklanan jenama ‘Alexis Sanchez’. Semakin lambat pemain antarabangsa Chile itu diperkenalkan, maka semakin teruja semua pihak ternanti-nanti. Bukankah begitu?

Sejak video memperkenalkan Alexis Sanchez sebagai pemain Manchester United disiarkan di laman Facebook rasmi kelab terebut, ia telah menarik lebih 8.3 juta tontonan sehingga artikel ini ditulis.

Di Twitter ia telah menjangkau angka 5.55 juta tontonan, manakala akaun Instagram rasmi kelab berkenaan telah mencatatkan 1.5 juta tontonan setakat ini.

Sweet music on and off the pitch. ? #Alexis7 @alexis_officia1 #MUFC #GGMU

A post shared by Manchester United (@manchesterunited) on

Rumusan

Manchester United adalah kelab yang mempunyai jumlah penyokong tertinggi di England. Kelab tersebut juga merupakan kelab paling berjaya dengan jumlah kejuaraan tertinggi.

Nilai komersil dan prestij berkenaan turut dibawa ke luar padang. Strategi pemasaran sebegini wajar dicontohi oleh pasukan-pasukan kita di Liga Malaysia.

Rata-rata pasukan dan kelab di Malaysia juga kelihatan gigih mempromosikan aktiviti kelab masing-masing di media sosial. Apa kata kita mulakan dengan perkara yang paling asas. Wujudkan laman sesawang kelab dan persatuan masing-masing.

Bukankah ini langkah termudah untuk pemegang taruh berpotensi mencari info berguna dari setiap pasukan?

Anda boleh melakukan semakkan ke atas pasukan Liga Malaysia yang anda ikuti di saingan domestik. Amat menyedihkan apabila terdapat sesetengah pasukan tidak mempunyai laman sesawang sendiri, walhal bersaing di pentas bola sepak tertinggi negara.

Apakah nilai komersial yang ingin kita bicarakan jika struktur asas pencarian maklumat pun tidak diwujudkan?

Buat persatuan-persatuan bola sepak negeri dan kelab yang bersaing di Liga Malaysia, sampai bila anda mahu penyokong mencari informasi melalui wikipedia? Perlukah FMLLP dan FAM mewajibkan pembinaan laman web untuk pembaharuan lesen?

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN