[VIDEO]: Benjamin Mora Seloroh Bergson ‘Simpan Kuku’ Di ACL Untuk Liga Super

Bergson hatrik JDT Perak Liga Super 2021 simpan kuku

Usai meledak hatrik sulung, Benjamin Mora dalam nada berseloroh berkata, mungkin Bergson da Silva ‘simpan kuku’ di saingan AFC Champions League (ACL) 2021.

Ketika saingan ACL 2021 di Bangkok, Thailand, Bergson menghadirkan kritikan atas prestasinya di padang apabila langsung tidak meledak gol buat Johor Darul Ta’zim (JDT), namun dalam aksi Liga Super, beliau kini sudah mengumpul 16 gol peribadi.

Malam tadi, dalam aksi minggu ke-16, JDT membenam cabaran Perak FC dengan keputusan 5-0 dan ia banyak dibantu dengan kejayaan hatrik oleh Bergson.

Gol pertamanya hadir di minit ke-20 selepas sepakan penjaga gol Perak, Azri Ghani tidak menjangkau jauh dan berjaya dirampas oleh pemain sayap, Gonzalo Cabrera yang kemudiannya melepaskan Bergson dalam situasi yang selesa ke hadapan.

Menewaskan dua pemain Perak, Bergson melepaskan satu rembatan padu ke sudut kiri gol untuk menewaskan penjaga gol pelawat itu bagi gol pembukaan perlawanan.

Minit ke-47, bermula di sebelah kanan, hantaran Afiq Fazail berjaya menemui Safawi Rasid yang sedang berlari membelah kubu pertahanan Perak seterusnya membuat hantaran kepada Bergson yang menanti di dalam kotak penalti pasukan pelawat.

Sentuhan pertamanya berjaya dihadang Charlie Machell sebelum rembatan susulan berjaya menewaskan Azri Ghani walaupun terdapat tiga pemain berdekatannya.

Bergson melengkapkan hatrik pada minit ke-59 selepas menerima hantaran jarak jauh daripada Matt Davies sebelum membuat kawalan menarik menewaskan dua pemain pertahanan Perak, Pavithran dan Idris Ahmad yang cuba tampil menghalang.

Itu merupakan jaringan ke-16 beliau untuk berkongsi kedudukan bersama Ifedayo Olusegun yang juga mengumpul jumlah gol yang sama bersama Selangor FC.

Ujar Benjamin Mora, “Rasanya dia, Bergson ‘simpan kuku’ untuk saingan liga, jadi dia rasa tidak perlu jaring gol di ACL dan meledak lebih banyak gol dalam liga.”

“Bergson adalah penyerang yang memiliki banyak skil. Adakalanya di turun ke bawah untuk bermain, kadang-kadang berada di luar kotak dan adakalanya dia membuat larian yang baik dan dia miliki sentuhan penyudah yang baik, jika dia memiliki ruang.

“Itulah sebabnya di bermain untuk JDT. Dia datang ke JDT untuk menjaringkan gol dan malam ini adalah malamnya. Harapnya dia akan terus membantu pasukan dengan sentuhan golnya,” komen Benjamin Mora mengenai hatrik penyerangnya itu.

Dua lagi gol JDT telah dijaringkan oleh pemain sayap, Gonzalo Cabrera iaitu pada minit ke-83 dan ke-86 untuk melengkapkan malam indah buat pendahulu liga itu.

Bercakap mengenai cabaran Bergson untuk muncul sebagai pemenang Kasut Emas musim ini, Benjamin Mora berkata, “Bukan saya yang menentukan kehendak pemain. Kami bermain secara berpasukan. Kami tiada superstars dalam pasukan.”

“Begitupun, saya gembira jika Bergson meraih penjaring terbanyak musim ini. Diogo pun tak pernah memenanginya ketika dia di sini,” tambahnya lagi tentangnya.

Selepas 16 perlawanan, JDT terus mengukuhkan kedudukan di takhta liga dengan 39 mata, sembilan mata di depan pencabar terdekat, Terengganu FC yang akan turun beraksi pada malam ini menentang Sabah FC di laman sendiri di Kuala Terengganu.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply