[VIDEO]: Aksi Gelecekan Guilherme De Paula Yang ‘Menumbangkan’ Pemain Uzbekistan

gelecekan Guilherme de Paula Malaysia Uzbekistan 2021

Tular aksi gelecekan pemain naturalisasi negara, Guilherme de Paula selama 20 saat yang menjatuhkan pemain Uzbekistan pada minit ke-89, di saat Malaysia sedang menuju kepada kekalahan ke-6 mereka, tahun ini.

Malaysia tumbang 1-5 kepada pasukan di ranking ke-84 dunia, Uzbekistan dengan gol saguhati skuad Harimau Malaya dijaringkan oleh pemain tengah, Baddrol Bakhtiar menerusi open play – kali terakhir pada 2019.

Apa yang didapati daripada gelecekan de Paula itu? Selepas mengambil bola itu daripada kawasan middle third, beliau mengelecek sehingga ke ‘pintu masuk’ final third sebelum akhirnya menghantar semula bola ke kawasan beliau bermula. Satu aksi yang menyebabkan ia tular di media sosial sebagaimana ‘larian deras’ pada Jun lalu.

Sebelum perlawanan, kekalahan sudah dijangkakan dek kerana ranking yang jauh ke depan disamping barisan pemain adalah ‘pilihan kedua’ skuad negara. Namun, Malaysia ada momen yang bagus untuk diberikan kredit.

Beberapa momen atau gerakan yang cuba dirangka dilihat baik, namun masalah komunikasi dan kawalan bola menghantui pergerakan tersebut. Malah, penampilan penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin juga memperlihatkan sisi yang jauh lebih baik berbanding apa yang diberikan de Paula dalam aksi sebelum ini.

Luqman Hakim mempamerkan perbezaan permainan daripada gaya penyerang yang dikemudi oleh Guilherme de Paula sebelum ini apabila beliau dilihat lebih kerap menekan jika pihak lawan menguasai kawalan bola.

Penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat juga boleh diberikan kredit kerana menafikan beberapa lagi peluang boleh gol pihak lawan. Jika tidak kerana ketangkasannya, sudah tentu Malaysia akan lebih merana di hujung aksi.

 

Perlawanan ini bagus untuk melihat kemahuan dan jiwa pemain berdepan pasukan yang jauh lebih bagus. Jelas sejak awal, mereka bukan lawan kita. Lihat sahaja permainan bersahaja mereka mengatur tiap asakan ke kubu skuad negara. Benteng skuad negara jelas bergelut untuk membendung gerakan ‘jentera’ kreatif lawan.

Tumpas kepada Jordan dalam aksi sebelum ini, pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe dilihat merombak skuadnya dengan membuat lima perubahan dalam kesebelasan utama. Sebelum gol pertama Uzbekistan tiba di minit ke-17 menerusi jaringan Dostonbek Khamdamov, Malaysia bermain dengan tersusun dan agak baik.

Malaysia kemudian melepaskan dua lagi gol yang diledak oleh Dostonbek Khamdamov di minit ke-29 sebelum tandukan terbang Khuisain Norchaev yang menerima hantaran lintang Farrukh Sayfiev di minit ke-32.

Di penghujung babak pertama, skuad kebangsaan berjaya menghasilkan jaringan pertama menerusi Baddrol Bakhtiar – jaringan ke-6 antarabangsanya. Hasil pergerakan tersusun antara Akram Mahinan, Rizal Ghazali di sebelah kanan kepada Faisal Halim, sebelum rembatannya terbias di tiang menemui Baddrol Bakhtiar.

Minit ke-67 dan ke-89, walaupun awalnya Khairul Fahmi sudah menyelamatkan keadaan, ia tidak menghalang untuk Uzbekistan meledak jaringan ke-4 dan ke-5 menerusi Ibrokhimkhalil Yuldashev dan Azizbek Amonov.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply