Velizar Popov Sedia Bimbing The Red Warriors

Semalam, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) membuat kejutan apabila memecat ketua jurulatih pasukan itu, Santhit Bensoh ekoran prestasi yang tidak memuaskan dalam 3 perlawanan awal saingan unifi Liga Super Malaysia 2018.

Bekas jurulatih Kelantan musim lepas, Velizar Popov sedia mempertimbangkan untuk kembali membimbing skuad The Red Warriors sekiranya KAFA membuat tawaran rasmi untuk mendapatkan khidmatnya musim ini.

Bercakap kepada Sinar Harian, beliau mengakui dihubungi oleh seseorang individu yang mendakwa bekerja dengan KAFA untuk berbincang mengenai tawaran selaku pengendali baharu pasukan itu.

“Setakat ini tiada tawaran rasmi lagi daripada Kafa dan sekarang giliran mereka (memulakan rundingan). Saya beritahu anda, bahawa saya sudah bersedia bercakap dengan mereka.

“Secara umumnya, KAFA tahu apa syarat-syarat saya sebelum ini. Jika mereka mahukan saya, mereka mesti faham terma tersebut dan ini menjadikan perbincangan itu nanti lebih mudah,” katanya.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan Maldives itu berkata beliau tidak kisah untuk kembali ke pangkuan Kelantan biarpun rundingan pertama bersama KAFA, November tahun lalu, berakhir dengan kegagalan.

“Seperti saya beritahu, saya bersedia untuk berbincang walaupun pada rundingan lalu mereka berhenti dengan berkata ok, tiada Popov tiada masalah,” katanya.

Popov sempat melatih Kelantan selama 5 bulan pada musim 2016 selepas pengunduran K Devan dengan meletakkan pasukan itu di tangga keempat kempen Liga Super selain mara ke suku akhir Piala Malaysia.

Velizar Popov ketika bersama Kelantan pada musim 2016.

Sebelum ini, Presiden KAFA, Bibi Ramjani Illias Khas mahu barisan kejurulatihan skuad The Red Warriors kaji punca sebenar kemerosotan pasukan Kelantan dalam 3 perlawanan awal saingan Liga Super musim ini.

Selepas 3 perlawanan unifi Liga Super Malaysia 2018, pasukan Kelantan masih gagal mencatat sebarang kemenangan dan terbaharu mereka tewas 0-3 kepada Pahang pada pertemuan ‘derby’ pantai timur di Stadium Darul Makmur.

“Apa yang perlu kita kaji sekarang, faktor jurulatih atau faktor pemain, yang penting kita perlu menilai dan mencari jalan terbaik untuk pasukan kita.

“Semua yang menyokong bukan sahaja mahukan kemenangan tetapi sebuah perjuangan sebenar. Permulaan yang hampa tidak akan berakhir dengan kehampaan selagi mereka semua sedar erti sebuah perjuangan, InsyaAllah,” katanya melalui laman facebooknya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram