Van De Beek Bina Badan ‘Sado’ Demi Selamatkan Karier Di Manchester United

Donny van de Beek Manchester United

Pemain tengah Manchester United, Donny van de Beek telah menjalani program latihan kecergasan bagi meningkatkan jisim otot dengan harapan ianya dapat membantu perkembangan kariernya di kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) menjelang musim 2021/22.

Pembelian pemain berusia 24 tahun ini yang menelan belanja sehingga £40 juta pada awal musim lalu telah memberi keterujaan buat penyokong Manchester United disebabkan kualiti dan reputasi yang dimiliki.

Beliau menjadi rebutan kelab-kelab ternama Eropah termasuk Real Madrid selepas memainkan peranan penting bersama Ajax sehingga mara ke separuh akhir kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 2019.

Van de Beek turut menjaringkan gol untuk United ketika membuat debut dalam aksi liga ketika masuk sebagai pemain gantian. Namun selepas daripada itu, segalanya menjadi serba tidak kena buatnya dan hanya membuat 19 penampilan di pentas EPL pada musim lalu.

Ole Gunnar Solskjaer ternyata lebih selesa untuk menggunakan gandingan Paul Pogba, Fred dan Scott McTominay di bahagian tengah yang dapat memberi kestabilan kepada taktikal permainannya.

Beberapa siri kecederaan dikatakan menjadi sebahagian daripada faktor kepada keterbatasannya untuk beraksi lebih kerap, apatah lagi dengan corak permainan pantas dan fizikal bola sepak Inggeris yang memerlukan tahap ketahanan dan kecergasan yang tinggi.

Beliau turut terlepas kejohanan Euro 2020 pada saat-saat akhir disebabkan kecederaan walaupun telah pun disenarai bersama skuad kebangsaan Belanda pada awalnya.

Dengan semua perkembangan itu membuatkan beberapa pihak menganggap kariernya di United telah pun berakhir. Malah terdapat ura-ura yang mengatakan beliau telah menjadi sebahagian daripada ‘umpan’ dalam usaha United untuk mendapatkan Jadon Sancho dari Borussia Dortmund.

Pemain sepertinya pasti tidak sukar untuk mencari kelab baharu dengan beberapa kelab Itali, Sepanyol dan Jerman telah menunjukkan minat yang tinggi untuk mendapatkannnya.

Namun laporan dari The Athletics mendedahkan, Van de Beek mahu terus kekal di Old Traffird dan merebut tempat dalam kesebelesan utama. Oleh itu, beliau telah meluangkan tempoh rehat musim panas ini dengan menjalani latihan fizikal khas dengan bimbingan pakar di Amsterdam.

Program itu memerlukan beliau untuk mengikuti setiap struktur pelan nutrisi bagi mengoptimumkan keseimbangan berat badan dengan ototnya bagi memastikan potensi sebenarnya dapat diserlahkan dan sekaligus meraih kepercayaan Solskjaer untuk musim baharu ini.

Kesan daripada program itu dapat dilihat dengan jelas apabila beliau diturunkan ketika aksi persahabatan menentang Brentford pada minggu lalu terutamanya pada bahagian lengannya.

Malah kapten United, Harry Maguire secara berseloroh menulis ciapan di akaun Twitter kelab berpesan kepada Van de Beek agar tidak ‘mengoyakkan’ lilitan kapten yang dipakai olehnya dalam perlawanan tersebut.

Selepas membuat persediaan lengkap dari segi kekuatan fizikal dan kecergasan, Ia adalah isyarat jelas bahawa Van De Beek telah bersedia sepenuhnya untuk memainkan peranan penting dalam mengharungi musim baharu ini.

Dengan masa depan Pogba masih kabur dengan spekulasi perpindahannya ke Paris Saint-Germain (PSG) semakin hangat diperkatakan, mungkin United tidak perlu gusar dengan kehilangan pemain termahalnya itu.

Tanpa perlu bersusah payah mencari pengganti, manfaatkan sebaiknya keberadaan Van de Beek kerana semua pihak tahu kualiti yang dimilikinya.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply