Valencia CF: Kebangkitan Dari ‘Mati’, Kini Pencabar Kejuaraan La Liga

Valencia CF: Kebangkitan Dari ‘Mati’, Kini Pencabar Kejuaraan La Liga. Ini adalah tajuk akhbar yang sesuai pada hari ini untuk menggambarkan prestasi semasa kelab Sepanyol ini.

Lebih setahun yang lalu, ia berbunyi begini:Tujuh Gol dan Satu Perkebumian. Demikianlah tajuk akhbar terkenal Sepanyol, Marca selepas Barcelona membelasah Valencia dalam perlawanan pusingan pertama peringkat separuh akhir Copa del Rey pada Februari 2016.

Superdeporte menyifatkan keputusan tersebut dengan satu perkataan: ‘Gila!’- membawa maksud ia adalah keputusan yang memalukan setelah Valencia diratah 7-0.

Pada ketika itu bayangannya semakin jelas. Gary Neville bukanlah individu yang sesuai untuk untuk membimbing, jauh sekali untuk menjadi penyelamat kepada Los Che.

Itu adalah kenyataan akan nasib yang menimpa Valencia pada 21 bulan yang lalu. Hari ini mereka berada di tangga kedua La Liga, juga pencabar terdekat kepada Barcelona.

Tidak ada sesiapa yang berani mempertaruhkan Valencia akan berada pada posisi ini pada hari ini. Apatah lagi berada di atas 2 lagi kelab berpengkalan di Madrid; Atletico dan Madrid yang lebih konsisten dalam saingan La Liga untuk tempoh 10 tahun ke belakang.

Valencia CF: Kapal Sepanyol yang karam

Pada 2016, Gary Neville adalah lantikan yang meragukan selepas kelab itu diambil alih oleh usahawan dari Singapura, Peter Lim.

Neville bersama-sama dengan pembantu beliau Pako Ayestaran dan juga Cesare Prandelli yang tiba kemudian gagal menyelamatkan kelab yang diibaratkan seperti sebuah kapal yang akan karam dan tidak mempunyai masa hadapan untuk berlayar lagi.

(Photo by Alex Caparros/Getty Images)

Ketika Peter Lim mengambil alih kelab yang telah memiliki 6 gelaran La Liga tersebut, beliau dianggap sebagai penyelamat kepada sebuah kelab yang dianggap antara terbesar dan kaya dengan sejarah kejayaan di Sepanyol.

Sebelum itu, Valencia menderita akibat daripada kesilapan dalam urus tadbir kewangan dan menuju ke ambang muflis.

Lim terpaksa berhadapan dengan hutang yang menjangkau angka £205 juta akibat daripada kesilapan lalu, 2 buah stadium untuk diselenggara dan terpaksa menjual pemain terbaik mereka untuk memastikan kelab berkenaan mampu meneruskan operasi.

(Photo by Denis Doyle/Getty Images)

Ketibaan usahawan Singapura itu menjanjikan dana untuk dibelanjakan.

Lim turut nekad untuk mengembalikan Valencia CF ke era kegemilangan kelab itu seperti ketika mereka tampil dalam perlawanan akhir UEFA Champions League (UCL) selama 2 musim berturut-turut pada ambang millenium.

Era Peter Lim

Lim bermula dengan agak baik bersama Valencia. Pengendali pada ketika itu, Nuni Espirito Santo (kini pengurus Wolves) berjaya mengembalikan bola sepak Eropah pada musim pertama beliau mengemudi Los Che.

Namun pada November 2015, semuanya tampak tidak menjadi buat Nuno. Akhirnya beliau tiada pilihan melainkan meletakkan jawatan sebagai jurulatih Valencia.

(Photo by Manuel Queimadelos Alonso/Getty Images)

Pada ketika Prandelli tiba pada September 2016, 8 jurulatih telah datang dan pergi sejak Unai Emery memilih untuk menyertai Spartak Moscow sebelum kembali ke Sevilla pada 2012.

Seperti juga jurulatih yang lain, Prandelli turut meninggalkan Valencia CF. Tetapi pemergiannya selepas meluahkan kebingungannya akan sebuah kelab yang seperti tiada arah, tidak mempunyai cita-cita, dan hilang kewarasan profesionalisme yang diperlukan untuk bersaing.

“Fuori!” (Berambus!). Tengking Prandelli kepada pemain-pemain Valencia CF pada ketika itu yang dianggap oleh beliau tidak mempunyai keinginan dan kebanggaan menyarung jersi Valencia.

(Photo by Manuel Queimadelos Alonso/Getty Images)

Luahan hati penuh emosi oleh Prandelli pada Disember 2016 menggariskan segala masalah yang dihadapi oleh Peter Lim dan kelab yang dimilikinya itu.

Hanya selepas 10 perlawanan bersama Valencia, Prandelli sudah angkat kaki, meninggalkan kelab tersebut terkapai-kapai menamatkan musim tersebut di tangga ke-12 walaupun hakikatnya memiliki perbelanjaan ke-4 tertinggi di dalam La Liga pada musim tersebut.

Angin perubahan 

Selepas itu Peter Lim melantik Anil Murthy, bekas diplomat warga Singapura menggantikan rakan senegara Chan Lay Hoon sebagai presiden kelab.

Perubahan ini diikuti oleh ketibaan Mateu Alemany sebagai pengarah kelab. Di sinilah segalanya bermula buat Valencia CF.

VALENCIA, SPAIN – MAY 23: New Valencia CF head coach Marcelino Garcia poses with the Executive member Anil Murthy (2L), Valencia CF General Manager Mateu Alemany (L) and Sport director Jose Ramon Alexanko (R) during his presentation at Mestalla stadium on May 23, 2017 in Valencia, Spain. (Photo by Manuel Queimadelos Alonso/Getty Images)

Alemany adalah bekas presiden Real Mallorca dan merupakan individu yang disegani ramai di dalam industri. Kewibawaan Alemany turut pernah menarik perhatian Florentino Perez sehingga pernah menawarkan tempat buat Alemany sebagai ahli lembaga pengarah Real Madrid.

Namun disebabkan Mallorca menawarkan jawatan presiden, Alemany kekal untuk memberi keutamaan buat Mallorca dan membantu kelab tersebut menjuarai Copa del Rey pada 2003.

(Photo by David Aliaga/Action Plus via Getty Images)

Alemany tidak membuang masa dengan tugas membaiki Valencia. Tugas pertama beliau ialah untuk mencari seorang jurulatih yang berkelayakan dalam memimpin kelab berkenaan ke hadapan dan kembali sebagai pencabar.

Jurulatih yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan ialah Marcelino Garcia Toral.

Ketibaan Marcelino Garcia Toral 

Marcelino adalah seorang jurulatih yang kaya dengan pengalaman dan telah membimbing beberapa kelab di Sepanyol.

Sebelum tiba di Valencia, Marcelino telah membimbing Villarreal. Marcelino telah membantu kelab berkenaan kembali bersaing di La Liga dan menduduki tangga ke-6 La Liga selama 3 musim berturut-turut.

(Photo by David Aliaga/NurPhoto via Getty Images)

Selepas dikaitkan dengan jawatan di Inter Milan, Marcelino telah dipecat oleh Villarreal sehingga akhirnya dilantik sebagai pengendali Valencia pada Mei 2017.

Marcelino adalah seorang jurulatih yang mempunyai perwatakan tegas. Beliau tidak membuang masa menukar peraturan sedia ada dan mengenakan polisi baru untuk barisan pemainnya.

(Photo by Manuel Queimadelos Alonso/Getty Images)

Dengan kepercayaan diberikan oleh Lim dan Alemany, beliau mulai membentuk skuad impiannya. 14 pemain dilepaskan dan pemain baru yang dibawa masuk menggantikan mereka dilakukan hanya sepas mendapat kebenaran Marcelino.

Hanya pemain yang benar-benar mahu membuktikan keupayaan diri walaupun bukan berstatus bintang dibenarkan oleh Marcelino.

Antara pemain baru yang membarisi skuad Marcelino ialah pemain tengah Perancis, Geoffrey Kondogbia dan juga pertahanan Colombia, Jeisin Murillo yang tiba dari Inter Milan.

(Photo by Urbanandsport/NurPhoto via Getty Images)

Marcelino turut membawa masuk penjaga gol Norbeto Neto daripada Juventus manakala Simone Zaza sudah bersama Valencia 6 bulan sebelum itu.

Sepertimana Marcelino, pemain-pemain ini juga adalah seperti kumpulan buangan Serie A, Itali.

Bermulanya era disiplin terapan Marcelino

Selain daripada kumpulan pemain buangan Serie A, Marcelini turut membawa masuk seorang pakar pemakanan dari Sporting Gijon, Jonathan Ondina. Maka bermulalah era kerja keras Los Che.

Marcelino gemar menerapkan permainan pantas dan ‘direct’. Ideanya ialah menewaskan lawan dengan kepantasan ketika melakukan perubahan transisi permainan. Corak permainan sebegini memerlukan tahap kecergasan yang tinggi.

(Photo credit should read JOSE JORDAN/AFP/Getty Images)

Kerana itulah Marcelino mementingkan pengambilan nutrisi yang betul agar pemain-pemainnya mampu mengawal sistem di dalam badan untuk memenuhi tuntutan taktikal yang diterapkan.

Di bawah rejim Marcelino, skuad Valencia sering makan bersama. Pemain harus makan mengikut ketentuan yang ditetapkan sebelum mereka diarahkan menjalani latihan. Darah pemain turut diambil untuk dianalisa dan disemak secara kerap.

(Photo credit should read ANDER GILLENEA/AFP/Getty Images)

Selain daripada menggunakan kaedah sains pemakanan, Marcelino turut menuntut displin dan sikap hormat menghormati di kalangan pemain dan juga staff di dalam kem Valencia, tanpa mengira peranan dan status masing-masing di dalam pasukan.

Rumusan

Walaupun tampil dengan pelbagai peraturan dan sistem latihan yang ketat, Marcelino berjaya menyatukan Valencia sebagai sebuah unit yang bergerak seiringan untuk mencapai visi dan misi kelab berkenaan.

Tidak hairanlah Valencia CF pada hari ini mampu untuk mencapai apa yang mereka telah lalui setakat ini.

Simone Zaza adalah pemain buangan West Ham. Hari ini penyerang Itali ini adalah penjaring kedua terbanyak La Liga di belakang Lionel Messi.

Goncalo Guedes adalah pemain pinjaman daripada PSG. Setakat ini beliau telah menampilkan prestasi yang memberangsangkan untuk Los Che. Begitu juga dengan Rodrigo Moreno, Kondogbia, dan Dani Parejo telah membuktikan keupayaan masing-masing.

Sama ada Valencia mampu mengekalkan momentum adalah perkara lain. Tetapi usaha mereka untuk mengubah nasib mereka sendiri setakat ini adalah satu pekerjaan yang luar biasa.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN