Undian Piala FA 2018: Melaka United Tidak Kisah Diundi Berdepan Pasukan Kuat

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Kemenangan besar 7-0 ke atas pasukan Liga Sosial dari Selangor, Southern FC pada pusingan kedua Piala FA kelmarin melonjakkan semangat Melaka United (MU) untuk berdepan dengan mana-mana pasukan pada saingan pusingan ketiga nanti.

Pengendali skuad itu, Eduardo Almeida, berkata kepada Berita Harian, pasukannya sudah bersedia untuk mencipta satu lagi kemenangan untuk memastikan tempat di suku akhir Piala FA musim ini.

“Pada perlawanan berdepan skuad terbabit, kami membentuk formasi baharu yang berjaya ditampilkan dengan baik, termasuk barisan pemain gantian.

“Kami turut merencana corak sedemikian dalam perlawanan sebelum ini, namun kurang memberangsangkan tetapi kali ini kemajuan berjaya diterjemahkan,” katanya.

Barisan kesebelasan utama pasukan Melaka United menentang Southern FC. FOTO: MUSA

Bagaimanapun, secara jujur Almeida mengakui ada kelemahan dalam pasukannya yang perlu diatasi dengan segera jika mahu melangkah lebih jauh dalam saingan Liga Malaysia.

Dalam perlawanan itu, jurang antara pasukan amatur dan pasukan professional jelas kelihatan pada perlawanan ini apabila Melaka United menyerang sejak dari awal dan mendapat beberapa peluang menerusi gandingan Yahor Zubovich, R. Gopinathan dan Farderin Kadir.

Gol pertama MU hadir pada minit ke-12 menerusi sepakan penalti yang mudah disempurnakan Zubovich selepas Fauzi Roslan dijatuhkan dalam kotak penalti.

R.Gopinanthan kemudiannya menolak masuk bola untuk gol kedua MU pada minit ke-24 sebelum Zubovich sekali lagi menjaringkan gol selepas mudah menolak masuk bola hantaran leret Gopinathan, dua minit selepas itu.

Skuad Hang Tuah kemudiannya terus menambah gol hasil tandukan perlahan kapten, Fauzi Roslan yang berjaya mengelirukan penjaga gol Southern FC, Mohd Alif Daniel Jafri.

Seminit sebelum tamat separuh masa pertama, MU sempat menambah gol menerusi Farderin Kadir yang pantas menyambar hantaran leret Zubovich dari sebelah kiri untuk Melaka mendahului 5-0 pada rehat separuh masa.

Babak kedua menyaksikan MU langsung tidak memberi ruang untuk Southern FC menjaringkan gol, sebaliknya terus melakukan percubaan demi percubaan untuk menambah lagi gol.

Sehinggalah pada minit ke-52, Mohamad Azmi Muslim berjaya menyumbat masuk gol ke-6 MU hasil rembatan deras ke penjuru kanan pintu gol Southern.

Penyerang anak jati negeri Melaka, Nurshamil Abd Ghani yang bermain pada babak kedua turut mencatatkan nama sebagai penjaring apabila membuat sepakan lencong yang tepat ke penjuru pintu gol lawan pada minit ke-75 untuk menutup pesta gol Melaka.

Keputusan itu kekal hingga wisel perlawanan untuk Skuad Hang Tuah layak ke Pusingan Ketiga Piala FA 2018 dengan bergaya.