Ultras Tranung ‘Tembak’ BOD Terengganu FC, Marzuki Sulong Sebagai ‘Kaki Ampu’

Kerjasama Semuanya BOLA

Poster Ultras Tranung Marzuki Sulong Out 2020

Apa yang kita lihat, Terengganu FC melalui fasa perubahan yang positif. Mereka antara yang terawal berubah daripada FA kepada FC, kira-kira dua tahun yang lalu. Imej dan prestasi kelab juga semakin baik. Namun, ia dikatakan ‘bagai menumbuk padi hampa’.

Penyokong Terengganu, Ultras Tranung semalam mendedahkan mengenai salah seorang Pengarah Terengganu FC Sdn. Bhd. iaitu Marzuki Sulong yang dikatakan gila dan tamak kuasa. Menurut posting di laman Facebook Ultras Tranung, mereka memberikan 10 sebab untuk menyingkirkan individu tersebut daripada TFC.

Marzuki Sulong merupakan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Terengganu (PBSNT) yang juga kini merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pengarah TFC. Beliau juga menjawat jawatan di dalam Liga Bolasepak Malaysia (MFL) serta dilantik Ahli Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurut posting itu, “Pendek kata, kiri kanan atas bowoh depan belakang kalu ada jawatan berkaitan bola, dia nok belaka. Kalu ikut atas kapasiti individu ber’multi profile’ gini, TFC sepatutnya tengoh rai kejuaraan Liga Super buat kali kelapan.”

Ianya berpunca daripada sikap Marzuki Sulong sendiri yang sebelum ini dikatakan menjadi dalang kepada pemilihan pemain untuk dibawa masuk ke TFC selain turut terlibat dalam pemilihan kesebelasan utama pasukan. Hanya Irfan Bakti sahaja yang boleh dikatakan berjaya ‘mengelak’ daripada menjadi ‘budak suruhannya’.

Selain itu, sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Daerah Setiu, Marzuki Sulong gagal dalam menunjukkan kemampuannya untuk mengendalikan persatuan. Bagaimana seorang Presiden di peringkat daerah yang gagal sebegitu diangkat menjawat pelbagai jawatan dalam hampir semua persatuan bolasepak yang wujud di Malaysia?

Ultras Tranung menegaskan, “Di Setiu tiada satu pun akademi bolasepak yang wujud, tiada pertandingan bolasepak dianjurkan [selain dari Piala DUN] dan tidak ada satu pasukan pun dari Setiu yang bertanding di Liga M4 TAL [Terengganu Amateur League]. Diri sendiri takdok KPI. Totally failed sebagai ‘branch’ leader!”

Ultras Tranung telah tampil bersuara disebabkan akan berlangsungnya Kongres PBSNT pada 3 Disember depan dan mahukan semua yang terlibat dalam sesi pemilihan Ahli Jawatankuasa nanti untuk sepakat menolak Marzuki Sulong daripada memegang sebarang jawatan. Mereka mendapat info mengenai aktiviti melobi.

Menurut kenyataan mereka lagi mengenai aktiviti individu tersebut yang sedang membuat lawatan ke daerah-daerah, “Dia sedang giat melobi orang-orang dalam persatuan daerah untuk undi dia dalam Kongres PBSNT 3 Disember 2020 ni. Mana-mana orang yang lebih berkelayokan dari dia, akan dia cantas dari awal.”

Apa yang diperjuangkan oleh Ultras Tranung cuma untuk mengeluarkan Marzuki Sulong daripada PBSNT. Beliau dikatakan selama ini telah mengganggu gugat perjalanan pasukan dan menjadi parasit. Untuk pemahaman, berikut adalah posting mereka di laman Facebook mereka, malam tadi, dengan slogan #CukurMisai.

KREDIT FEATURED IMAGE: ULTRAS TRANUNG

Baca lagi artikel mengenai Ultras Tranung dan Marzuki Sulong:

Ultras Tranung Bengang Dengan Kemaman FA & FA Daerah Yang Gila Kuasa Tapi Malas

Dedikasi Khas Ultras Tranung Menerusi Lagu ‘Engkaulah Jiwaku’ Buat Terengganu FC

Ultras Tranung Desak Perubahan Drastik FA Daerah Di Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram