Ultras PSG Mahu Neymar Berambus Kerana Meluat, Anggap Pemain Itu Sebagai Paling Keji

Seluruh dunia tahu bahawa Neymar mahu pulang semula ke Barcelona. Namun sikap dan profesionalisme beliau membuatkan Ultras PSG mulai meluat dengan bintang Brazil itu.

Neymar masih belum menyatakan komitmen beliau kepada PSG walaupun mendapat kontrak lumayan dengan pasukan itu. Neymar bersikap ego.

Neymar sudah beberapa kali membuatkan mereka rimas. Antaranya, ketika Neymar menganggap kejayaan menewaskan PSG bersama Barcelona dalam saingan UCL, sebagai kenangan terindah dalam kariernya.

Selepas itu Neymar berkongsi video promosi dengan baju Barcelona di laman sosial beliau.

Bukan itu sahaja, ada beberapa kes lagi di mana Neymar berlagak diva. Antaranya, pergi bercuti lebih daripada hari ditetapkan walaupun beliau patut kembali awal untuk menjalani rawatan.

Bertengkar dengan rakan sepasukan, ketika merampas tugasan penalti. Menumbuk penonton, membuatkan beliau digantung perlawanan.

Selepas kempen Copa America, beliau sekali lagi lewat melapor diri dengan alasan beliau sudah memaklumkan kepada kelab. Hakikatnya, permintaan itu tidak diluluskan.

Dalam aksi pembukaan Liga Perancis – PSG vs Nimes, kelompok Ultras PSG meluahkan rasa marah dan tidak gembira mereka terhadap Neymar.

Ultras PSG telah menaikkan kain rentang: “Neymar pergi berambus (Neymar Casse toi).”

Ini diikuti banner tertulis dengan “Se faire taper par une pute n’arrive pas qu’en remontada tu t’en souviens?” (Dipukul oleh pelacur, tidak hanya berlaku pada ‘comeback’ [remontada], bukan?)

Satu sindiran kepada Neymar yang diserang oleh seorang wanita jalang yang mahu meminta wang, mendakwa dirinya dicabul Neymar. ‘Remontada’ merujuk kepada kebangkitan Barcelona ke atas PSG yang diagungkan oleh Neymar. Ada yang menganggap Neymar sengaja menyebut perkara itu bagi mengeruhkan lagi hubungan dengan kelab.

Sepanjang perlawanan, beberapa kali para Ultras PSG melaungkan “Neymar, son of a b***h” . Ada beberapa kertas diedarkan kepada para penyokong dengan tertulis: “Neymar, pemain paling keji dalam sejarah.”

Cepat sungguh masa berlalu. 2 tahun lalu, para penyokong PSG meraikan kejayaan mendapatkan Neymar dan percaya pemain itu akan membawa UCL ke PSG.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram