Ultimate FC Idam Ulangi Pencapaian Musim Lalu

Ultimate FC

Kelab Liga M3, Ultimate FC, yang bakal mendapat sentuhan bekas penyerang kebangsaan, Azman Adnan, selaku ketua jurulatih berazam mahu mengulangi pencapaian musim lalu untuk mara sekali lagi ke pusingan kedua Piala FA.

Pemilik Ultimate FC, Mohamed Fitri Ahmad Ziyadi berharap melalui pengalaman sebelum ini akan menjadi motivasi tambahan buat majoriti pemainnya memberikan lebih 100 peratus pada saingan pusingan kelayakan Piala FA 2020.

“Sasaran kami sama macam tahun lepas iaitu mara sejauh mungkin atau sekurang-kurangnya ke peringkat pusingan kedua iaitu untuk berdepan dengan pasukan-pasukan dari Liga Super dan Liga Premier.

“Jika kami dapat bertemu dengan pasukan-pasukan ini, secara tidak langsung dapat memberikan pengalaman berharga kepada pemain-pemain untuk merasai saingan peringkat tertinggi.

“Kehadiran Azman juga saya harap sedikit sebanyak mampu memberi suntikan semangat kepada pasukan kerana semua orang tahu dia punyai nama yang cukup besar dan kita harap dia mampu beri perubahan drastik kepada pasukan, ” katanya.

Musim lalu, Ultimate FC berjaya melepasi saingan pusingan kelayakan selepas menewaskan Glory United 3-2 dan KSR Sains 2-1 di pusingan pertama namun tewas 0-5 kepada Terengganu FC di pusingan kedua.

Ultimate FC yang akan terus bersaing di Liga M3 turut dibantu seorang lagi bekas penyerang kebangsaan, Rudie Ramli selaku penolong jurulatih manakala beberapa pemain berpengalaman seperti Azlan Zainal, Nizam Abu Bakar dan Faizal Abu Bakar.

Berikut adalah 20 pasukan yang akan bertanding dalam saingan Liga M3 musim ini:

Armed Forces FC, Thai Selangor FC, Ikram Muda FC, Melawati FC, Protap FC, Sarawak FA, Ultimate FC, Semarak FC, Kuala Lumpur Rovers, PIB FC, Klasiko FC, Harini FC, KSR Sains, Melaka United FC, Johor Bahru FA, KT Rovers FC, Northern Lions FC, Langkawi City FC dan Manjung City FC.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram