Ultimate FC Buka Langkah Kanan Dalam Selangor Champions League 2017, Tumbangkan Condoh FC 1-0

Pasukan Kajang, Ultimate FC memulakan kempen Selangor Champions League 2017 (SCL2017) dengan langkah kanan selepas menewaskan pasukan Shah Alam, Condoh FC dalam aksi Kumpulan A di Stadium Panasonic Shah Alam malam semalam.

Gol cantik Shafizan Ramli pada separuh masa kedua ternyata sudah cukup bagi Ultimate FC untuk mengutip 3 mata penuh, sekaligus berkongsi mata dengan Southern FC yang menang 6-1 ke atas AZS FC kelmarin.

Seawal minit ke-6 Ultimate sudah menunjukkan keinginan mereka untuk menang apabila hampir menjaringkan gol berikutan hantaran lintang penyerap sayap kiri mereka. Namun percubaan mereka berjaya dihalang oleh pertahanan Condoh ketika penjaga gol Condoh sudah pun tertewas.

Tersentak dengan percubaan tepat ke arah gol pasukan lawan, Condoh kemudiannya memperkemaskan permainan mereka.

Jentera tengah Condoh paling menyerlah apabila hantaran-hantaran pendek mereka kerap kali mencipta peluang kepada penyerang-penyerang mereka. Bagaimanapun kekurangan kualiti teknikal barisan serangan mereka jelas menggagalkan pelan serangan Condoh.

Sesekali Ultimate mengancam – terutamanya melalui larian-larian kencang penyerang sayap mereka.

Ditambah pula dengan kesukaran bek sayap Condoh menandingi kelajuan penyerang-penyerang sayap Ultimate, Condoh nampak bergelut untuk bertahan dengan baik dalam sistem 3-5-2 mereka.

Tidak banyak aksi menarik di depan gol yang berlaku pada separuh masa pertama. Maka tak hairanlah kedudukan terikat 0-0 pada separuh masa pertama.

Apabila separuh masa kedua bermula, Ultimate menggandakan asakan dari kawasan sayap mereka.

Pada minit 41′ (di SCL, setiap pasukan bermain 35 minit pada setiap separuh masa), Ultimate hampir-hampir membuka akaun jaringan mereka.

Berpunca daripada hantaran lintang dari sayap kiri, penyerang Ultimate yang menyambut hantaran tersebut melakukan percubaan yang tepat ke arah gol. Bagaimanapun percubaan tersebut dihalang di depan gol oleh pertahanan Condoh ketika penjaga gol mereka sudah pun tertewas.

Barangkali tersentak dengan percubaan Ultimate itu, Condoh memperkemaskan pelan serangan mereka. Hasilnya mereka juga hampir-hampir menjaringkan gol menerusi sepakan percuma. Bagaimanapun ia dianfikan dengan cemerlang oleh penjaga gol Ultimate, Zulfadli Ahmad Kamal.

Gol yang dicari Ultimate akhirnya tiba tidak lama selepas itu.

Berpunca daripada hantaran lintang sayap kiri, penyerang Ultimate, Shafizan Ramli (gambar bawah) tenang merembat masuk gol tunggal pasukannya untuk menewaskan penjaga gol Condoh, Nasri Wok Isa.

Ketinggalan 1 gol, Condoh cuba bangkit. Tetapi sekali lagi kekurangan kualiti teknikal di bahagian serangan menyukarkan usaha mereka.

Jika ada seorang penyerang Condoh pun yang mempunyai kualiti teknikal yang bagus, ia adalah pemain bernombor 20 mereka, Faez Mahmudin (baju kuning, gambar bawah).

Bagaimanapun kualiti yang dimiliki Faez jelas belum cukup untuk menembusi benteng Ultimate yang cemerlang mempertahankan kelebihan 1 gol mereka sehinggalah tamat perlawanan.

Pemain terbaik perlawanan: Shafizan Ramli (Ultimate FC)

Statistik perlawanan

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN