UiTM FC Sasar Kelompok Lapan Pasukan Terbaik

UiTM FC

Sebagai pendatang baharu dalam kempen Liga Super Malaysia, UiTM FC pastinya bakal berdepan laluan berliku bagi menghadapi cabaran daripada pasukan lain dalam saingan liga paling utama di tanah air itu.

Dengan status selaku pasukan universiti pertama menyertai Liga Super serta barisan pemain yang sebahagian besarnya dibarisi oleh para pelajar universiti tersebut, menarik untuk diperkatakan tentang pasukan ini.

Bagi pengurus pasukan, Mustaza Ahmad, beliau optimis dengan keupayaan barisan pemain UiTM FC dan menyasarkan untuk berada di kedudukan lapan pasukan terbaik sekaligus kekal dalam saingan Liga Super 2021.

”Saya berharap pada penghujung bulan ini, semuanya akan berakhir, kami boleh memuktamadkan barisan pemain. Presiden kelab telah bertemu dengan barisan kejurulatihan pada minggu lalu.”

”Kami harap dapat memberikan saingan yang cukup sengit buat pasukan lain dalam saingan Liga Super dan terus kekal di liga utama itu pada musim 2021,” ujar Mustaza kepada The Star Online.

”Berada di kedudukan lapan terbaik adalah sasaran kami bagi musim baharu ini.”

Dalam pada itu, Mustaza turut berkongsikan perkembangan terkini pasukan yang turut dikenali sebagai ‘The Lion Troops’ itu.

”Kami sudah mendapatkan dua pemain import daripada England dan Perancis. Untuk pemain tempatan, sebahagian besar datangnya daripada universiti dan kami turut menandatangani seorang pemain berpengalaman daripada Melaka.”

”Kedua-dua pihak universiti dan kelab sangat gembira kerana menjadi sebahagian daripada fasa ini. UiTM merupakan universiti pertama yang beraksi dalam saingan Liga Super, Liga Premier, Piala FA dan Piala Malaysia. Ia merupakan rekod yang luar biasa.”

UiTM FC menamatkan saingan Liga Premier 2019 di tangga kelima selepas mengumpul 29 mata. Kelab tersebut dinaikkan pangkat untuk beraksi di Liga Super 2020 berikutan Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) yang dijadikan pasukan ‘feeder’ oleh Selangor FA.

Kredit foto: UiTM FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram