UiTM FC Perkenalkan Jersi Dan Barisan Pemain Untuk Musim 2019

Kelab bola sepak dari universiti tempatan, UiTM FC semalam memperkenalkan jersi dan pemain mereka untuk musim 2019 di Dewan Seri Budiman, UiTM Shah Alam bagi menghadapi saingan Liga Premier.

Mereka turut memperkenalkan tiga pemain import yang telah ditandatangani iaitu Adi Said, Robert Mendy dan Agele Coulibaly serta sedang menanti seorang lagi pemain import dari eropah.

“Kami sudah mengikat tiga pemain import secara rasmi. Seorang lagi pemain akan tiba dalam waktu terdekat.

“Pemain dari Eropah itu akan melengkapkan pasukan kami musim ini,” kata jurulatih skuad UiTM FC, Ismail Zakaria dalam Stadium Astro.

Malah, UiTM FC kali ini menyasarkan untuk berada dalam kalangan empat terbaik Liga Premier musim ini dengan bersandarkan kekuatan mahasiswa yang dimiliki mereka.

UiTM tidak pernah berada di tangga empat teratas Liga Perdana sejak musim 2013. Pencapaian terbaik mereka adalah ketika menamatkan kempen di tangga keenam pada musim 2017.

Barisan pemain UiTM FC untuk musim 2019. FOTO: UiTM FC

Bagaimanapun, tiga aksi pra-musim di Thailand sudah memadai untuk meyakinkan ketua jurulatih, Ismail Zakaria, terhadap pendekatan membariskan penuntut universiti dalam pasukannya.

“Jauh di sudut hati, saya menginginkan pasukan ini bergelar juara dan layak ke Liga Super musim depan.

“Namun, secara realistik, kedudukan empat teratas sudah cukup baik buat kami.

“Saya baru dua bulan bersama mereka dan proses itu kini semakin baik dengan setiap pemain kian memaparkan kematangan.

“Lebih awal kami layak ke Liga Super lebih baik.

“Jika tidak dapat melakukannya musim ini, saya meletakkan sasaran untuk ke tahap itu dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply