UEL 2019/20: Jaringan Lewat Permainan Boly Hadiahkan Kemenangan Sulung Buat Wolves

Wolves

Jaringan tunggal lewat permainan dihasilkan pemain pertahanan, Willy Boly berjaya menghadiahkan kemenangan sulung buat satu lagi kelab Liga Perdana Inggeris, Wolverhampton Wanderers pada aksi kumpulan K menentang Besiktas di Vodafone Arena.

Aksi 90 minit permainan memperlihatkan kedua-dua pasukan tidak banyak menghadirkan serangan berbahaya buat kubu lawan masing-masing.

Hanya percubaan tuan rumah terkena tiang gol pada minit ke-42 serta jaringan Romain Saiss yang dibatalkan akibat ofsaid sedikit memberikan ‘nyawa’ terhadap perlawanan tersebut.

Ketika perlawanan semakin menghampiri penghujung dan aksi dijangka berkesudahan tanpa jaringan, Willy Boly muncul wira buat skuad bimbingan Nuno Espirito Santo tersebut pada minit ke-93.

Boly yang mendapat hantaran lambung cantik daripada Ruben Neves, tidak mensia-siakan peluang terhidang apabila dengan tenang menolak masuk bola untuk menewaskan Loris Karius.

Kemenangan itu meletakkan Wolves ditangga ketiga dengan tiga mata selepas mereka tumpas 0-1 di laman sendiri pada aksi sulung menentang SC Braga.

Dalam satu lagi aksi kumpulan K, SC Braga dan Slovan Bratislava terikat 2-2 untuk meletakkan wakil Portugal itu di puncak carta kumpulan dengan empat mata.

Slovan Bratislava mengekori di tangga kedua, juga dengan empat mata tetapi kelab Slovakia itu lebih banyak dibolosi berbanding pendahulu tersebut.

Kredit foto: wolves.co.uk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram