UEL 2019/20: Inter Milan Melangkah Ke Final Dengan Bergaya

Kerjasama Semuanya BOLA

Inter Milan

Inter Milan melangkah ke perlawanan akhir Liga Europa (UEL) 2019/20 dengan penuh bergaya selepas berjaya membelasah Shakhtar Donetsk 5-0 pada aksi separuh akhir, awal pagi tadi.

Duo serangan I Nerazzurri, Romelu Lukaku dan Lautaro Martinez jelas mencuri tumpuan apabila kedua-dua mereka menyumbat dua gol manakala satu lagi jaringan dihasilkan oleh Danilo D’Ambrosio.

Kesilapan penjaga gol berpengalaman, Andriy Pyatov gagal membuat hantaran dengan baik telah memberikan peluang buat Nicolo Barella untuk melakukan hantaran lintang dari sebelah kiri pintu gol Shakhtar.

Martinez yang mendapat ruang dalam kawasan penalti tidak mensia-siakan peluang tersebut untuk menanduk masuk bola bagi membuka tirai jaringan pada minit ke-19.

Skuad bimbingan Antonio Conte itu terus menggandakan asakan mendapat beberapa peluang terbaik untuk menambah jaringan tetapi ia digagalkan susulan penyudah yang kurang berkesan.

Bagaikan mendapat tonik berguna di bilik persalinan ketika rehat rehat separuh masa pertama, Inter terus mengganas pada 45 minit kedua apabila berjaya menambah empat jaringan lagi.

Ia bermula dengan jaringan kedua menerusi Danilo D’Ambrosio yang menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru diambil pemain tengah kelahiran Croatia, Marcelo Brozovic.

Berselang 10 minit kemudian, Martinez meledakkan jaringan kedua peribadi susulan kesilapan pertahanan Shakthar yang tidak mengawal bola dengan baik di kawasan sendiri sehingga memberikan ruang kepada jentera serangan Inter untuk melakukan asakan.

Percubaan cantik dari luar kawasan penalti diledakkan Martinez gagal dihalang Pyatov yang hanya mampu bola menerjah gawangnya buat kali ketiga.

Lukaku melengkapkan malam gemilang buat Inter Milan apabila beliau menambah dua jaringan pada minit ke-78 dan 84 untuk melengkapkan kemenangn 5-0 sekaligus menempah pertemuan menentang juara lima kali, Sevilla pada perlawanan akhir nanti.

Kredit featured image: Inter Milan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram