UEFA Salur Dana RM1.12 Bilion Kepada 55 Negara Anggota

UEFA

Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) telah menyalurkan dana sebanyak €236.5 juta (RM1.12 bilion) kepada 55 negara anggota gabungannya yang sedang bergelut dengan impak kewangan disebabkan krisis pandemik COVID-19.

Sumber dari Reuters melaporkan badan induk bola sepak Eropah itu dalam kenyataannya pada Isnin menjelaskan setiap anggota gabungannya itu akan menerima €4.3 juta (RM20.3 juta) daripada dana tersebut bagi diperuntukkan kepada pembangunan.

Namun UEFA memutuskan setiap persatuan bebas untuk menentukan keutamaan mereka dalam memanfaatkan bantuan tersebut.

“Sukan bola sepak sedang berdepan dengan cabaran besar disebabkan krisis COVID-19 yang sedang melanda di seluruh dunia ketika ini.

“Kami mahu membantu anggota gabungan untuk bertindak dengan cara yang bersesuaian dalam berdepan dengan masalah khusus yang dihadapi mereka,” kata Presiden, Aleksander Caferin dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman web rasmi badan itu.

“Hasilnya, kami telah bersetuju untuk menyalurkan dana sehingga €4.3 juta kepada setiap persatuan. Ianya akan diserahkan untuk baki musim ini dan juga musim depan yang merupakan sebahagian daripada dana pelaburan.

“Ia boleh digunakan oleh anggota gabungan kami untuk membina semula komuniti bola sepak di negara mereka menerusi kaedah terbaik dengan cara masing-masing.

“Saya percaya ini adalah tanggungjawab kami untuk membantu selagi mana kami mampu dan saya bangga dengan penyatuan yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam menghadapi krisis ini.”

UEFA kini sedang mempertimbangkan dua kemungkinan untuk menyambung dua kejohanan utama mereka iaitu Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Liga Europa (UEL) iaitu sama ada berjalan seiring dengan liga domestik ataupun menganjurkan pertandingan mini selepas semua aksi domestik berakhir.

Hampir semua aksi bola sepak di seluruh dunia kini telah ditangguhkan sejak Mac. Minggu lepas UEFA telah pun menyalurkan pampasan bernilai €70 juta kepada kelab-kelab bola sepak yang terjejas dari segi kewangan.

Namun apa yang pasti, semua pasukan perlu menghadapi kebiasaan baharu dengan mengadakan perlawanan bola sepak tanpa kehadiran penyokong di stadium.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai UEFA:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram