UCL: Gol Ronaldo Tak Cukup Untuk Halang Kekalahan Manchester United

Manchester United Cristiano Ronaldo UCL BSC Young Boys

Manchester United membuka kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini dengan langkah kiri selepas tumpas 2-1 kepada BSC Young Boys.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain dalam sebahagian perlawanan selepas Aaron Wan-Bissaka menerima kad merah pada separuh masa pertama.

Segalanya nampak lancar buat United apabila Ronaldo membuktikan ketajamannya dengan gol menerusi percubaan pertama United dalam perlawanan ini pada minit ke-13 dengan menyudahkan hantaran cantik Bruno Fernandes.

Ia merupakan gol ke-135 penyerang Portugal ini dalam kejohanan UCL yang melebarkan rekodnya selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman.

Namun segalanya berubah apabila 10 minit sebelum tamat separuh masa pertama, United terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain selepas Wan-Bissakan diarah keluar padang kerana melakukan terjahan keras ke atas buku lali Christopher Martins.

Jadon Sancho yang seakan ‘tidak berfungsi’ dan sering membuat kesilapan mudah telah ‘dikorbankan’ untuk digantikan dengan Diogo Dalot yang beraksi di pertahanan kanan.

Kelebihan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya oleh pasukan tuan rumah untuk membuat pertukaran serta mengubah corak permainan mereka dengan mendominasi penguasaan bola dan memberi tekanan demi tekanan kepada pertahanan United.

Serangan bertali arus Young Boys akhirnya membuahkan hasil apabila Nicolas Ngamaleu berjaya menyudahkan hantaran lintang Mischack Elia dari sebelah kanan untuk gol penyamaan.

Ketika perlawanan seakan-akan bakal berakhir dengan seri, kesilapan pemain gantian, Jesse Lingard yang membuat hantaran ke belakang memberikan Jordan Siebatcheu peluang untuk memintas dan menghasilkan gol kemenangan yang menggegar Stadium Suisse Wankdorf dengan sorakan penyokong.

Perlawanan berakhir dengan keputusan 2-1 memihak kepada pasukan tuan rumah yang meraikan kemenangan bersejarah berdepan pasukan gergasi Eropah seperti United.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply