UCL 2020/21: RB Leipzig ‘Tendang Keluar’ Man Utd Dari Persaingan

RB Leipzig

RB Leipzig berjaya menyerap tekanan hebat pada lewat permainan untuk menumbangkan Manchester United 3-2 pada perlawanan terakhir saingan kumpulan H Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2020/21 yang berlangsung di Red Bull Arena, sebentar tadi.

Kemenangan itu juga menyaksikan Leipzig melangkah ke peringkat 16 manakala skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu pula terpaksa menerima hakikat perlu beraksi dalam saingan Liga Europa.

Turun dengan misi untuk meraih kemenangan serta menebus kekecewaan tunduk 0-5 pada aksi pusingan pertama di Old Trafford, Leipzig bermula dengan cukup cemerlang setelah Angelino membuka tirai jaringan seawal minit kedua perlawanan.

Gol tersebut berpunca daripada hantaran menarik dari jarak jauh dilakukan Marcel Sabitzer bagi membolehkan Angelino yang tidak dikawal pertahanan Manchester United untuk meledakkan jaringan sekali gus memisahkan kedua-dua pasukan.

Mason Greenwood cuba untuk memberikan ancaman ke kubu tuan rumah tetapi percubaan leret dilepaskannya berjaya diselamatkan penjaga gol kelahiran Hungary, Peter Gulacsi pada minit kesembilan.

Angelino terus memainkan peranan penting buat skuad bimbingan Julian Nagelsmann itu apabila hantaran lintang cantik dari sebelah kanan pintu gol Manchester United pada minit ke-13 disudahkan dengan baik oleh Amadou Haidara menerusi percubaan voli yang tidak mampu diselamatkan David De Gea.

Berselang empat minit kemudian, Leipzig hampir mengukuhkan kedudukan tetapi Emil Forsberg yang menerima umpanan cantik daripada Angelino gagal menggunakan peluang terhidang berikutan percubaann hujung kakinya tersasar.

Memasuki minit ke-29, wakil Jerman itu sekali lagi hampa setelah jaringan daripada Wili Orban dibatalkan Video Assistant Referee (VAR) selepas Ibrahima Konate yang sebelum itu melakukan tandukan dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Aksi pada babak kedua memperlihatkan Manchester United kembali memperkemaskan aksi dengan menguasai 63 peratus perlawanan dan The Red Devils mendapat dua peluang terbaik menerusi Bruno Fernandes.

Pemain tengah berpengaruh itu meledakkan rembatan padu dari luar kawasan penalti pada minit ke-66 tetapi Gulacsi lebih bersedia untuk menafikan percubaan tersebut. Berselang dua minit, sepakan percuma kelahiran Portugal itu sekadar singgah di palang gol.

Tidak sampai seminit percubaan tersebut dijelmakan Bruno, Leipzig memperoleh jaringan ketiga apabila hantaran lintang Angelino ke dalam kawasan penalti memberikan peluang buat Justin Kluivert untuk mengukuhkan lagi kedudukan.

10 minit terakhir menyaksikan Manchester United mula mempamerkan kebangkitan setelah berjaya menjaringkan dua gol dalam tempoh dua minit menerusi sepakan penalti Bruno Fernandes dan tandukan Paul Pogba yang terkena Konate lalu membolosi gawangnya sendiri.

Bagaimanapun tekanan berterusan diberikan itu tidak mampu menghadirkan jaringan penyamaan buat Manchester United untuk membolehkan RB Leipzig melangkah ke pusingan seterusnya.

Dalam satu lagi aksi, kontroversi berlaku apabila pemain kedua-dua pasukan melangkah keluar meninggalkan padang sebagai tanda protes terhadap pegawai keempat yang melemparkan kata-kata bersifat rasis terhadap penolong pengurus Istanbul Basaksehir, Pierre Webo ketika perlawanan baharu berlangsung 13 minit.  Baki perlawanan di Parc des Princes itu dilaporkan akan bersambung pada malam ini bermula dari minit ke-14.

Kredit featured image: Mario Hommes/DeFodi Images via Getty Images

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN