UCL 2019/20: Juventus Dikejutkan Lyon

Harapan Juventus untuk melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bakal menempuh jalan berliku selepas dikejutkan oleh Olympique Lyonnais dengan kekalahan 1-0 di peringkat kalah mati di Groupama Stadium pada awal pagi tadi.

Pemain tengah Lucas Tousart menjaringkan gol tunggal perlawanan pada separuh masa pertama untuk memberikan kelebihan buat pasukan tuan rumah yang akan membawa bekalan satu gol ke tempat lawan dalam perlawanan kedua pada 17 Mac akan datang.

Ianya kemenangan pertama Lyon ke atas Juventus dan ianya adalah kekalahan pertama skuad kendalian Maurizio Sarri dalam pertandingan tersebut pada musim ini. Kali terakhir Lyon melangkah ke peringkat suku akhir adalah pada 2010 dan mereka berpeluang untuk mengulanginya.

Pendahulu Serie A itu dilihat agak bergelut untuk mempamerkan corak permainan berkualiti dengan penggempur utama mereka, Cristiano Ronaldo juga agak sukar untuk mendapat peluang berada di posisi yang baik untuk menjaringkan gol.

Kira-kira 2,700 penyokong Juventus hadir ke Piedmont untuk memberi sokongan  kepada pasukan mereka sekalipun lokasi tersebut hanya terletak bersebelahan dengan daerah Lombardy yang terjejas teruk dengan wabak Coronavirus.

Dalam perlawanan itu, Houssem Aouar dan pemain baharu, Bruno Guimaraes begitu menyerlah dan berjaya memberikan inspirasi yang baik kepada rakan sepasukan di atas padang.

“Kami sedar yang kami bukan pasukan pilihan, tetapi kami percaya mampu untuk mengatasi pasukan sehebat Juventus. Tetapi jangan rasa selesa kerana masih ada satu perlawanan lagi untuk menentukannya,” kata Aouar.

Sementara itu, prestasi Juventus ketika ini agak membimbangkan selepas meraka hanya menang empat perlawanan sahaja dalam lapan perlawanan dalam semua pertandingan dan ketua pasukan, Leonardo Bonucci menegaskan rakan sepasukannya perlu bangkit untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik.

“Kami beraksi teruk pada separuh masa pertama. Saya akui kadangkala perkara buruk seperti ini terjadi dan ketika itulah pasukan lawan mengambil kesempatan untuk menghukum kami.” kata Bonucci.

Lyon turut berpeluang menambah jaringan apabila hantaran Aouar dari sepakan penjuru ditanduk oleh Karl Toko-Ekambi tetapi terkena palang.

Aouar kemudian sekali lagi menjadi duri dalam daging buat Juventus selepas kuisan ke belakangnya menemui Tousart yang merembat dari jarak dekat selepas perlawanan berlangsung selama 31 minit.

Pemain pertahanan, Mathijs De Ligt pula mengalami kecederaan kecil dalam perlawanan tersebut apabila kepalanya berdarah disebabkan perlanggaran dengan rakan sepasukannya Alex Sandro.

Paulo Dybala dan Gonzalo Higuaian turut memperoleh peluang untuk mendapatkan gol penyamaan tetapi masing-masing gagal menewaskan penjaga gol, Anthony Lopes.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram