Highlight UCL 2019/20: Atletico Madrid Lepasi Halangan, Ronaldo Benam Cabaran Leverkusen

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Atletico Madrid menjadi antara pasukan terakhir yang mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas meraih kemenangan 2-0 ke atas Lokomotiv Moscow di Wanda Metropolitano pada Rabu.

Kemenangan Atletico itu meletakkan mereka di tempat kedua kumpulan D dengan 10 mata di belakang juara kumpulan, Juventus yang mengakhiri cabaran Bayer Leverkuson di UCL dalam satu lagi perlawanan.

Atletico mendapat peluang awal apabila dianugerahkan sepakan penalti selepas Joao Felix dijatuhkan penjaga gol Anton Kochenkov dalam kotak penalti ketika masa permainan belum pun mencecah seminit.

Namun demikian Kochenkov cemerlang menyelamatkan sepakan yang diambil Kieran Trippier. Kemudian pemain pertahanan Lokomotiv membuat kesilapan lain pula apabila menyentuh bola dengan tangannya dan memberikan satu lagi sepakan penalti dan kali ini diterjemahkan dengan sempurna oleh Joao Felix.

Sembilan minit kemudian, Alvaro Morata disangka sudah pun menyumbat gol kedua, tetapi hasil semakan VAR gol, itu dibatalkan kerana penyerang Sepanyol itu berada pada kedudukan ofsaid ketika menerima hantaran.

Rembatan voli Felipe yang menerima hantaran lintang Koke pada separuh masa kedua menoktahkan kemenangan skuad Los Rojiblancos itu dan sekaligus mengesahkan tempat ke pusingan 16 pasukan terakhir.

Sementara itu, satu lagi perlawanan dalam kumpulan D menyaksikan Juventus menghantar Bayer Leverkuson ke saingan Liga Europa selepas menumpaskan kelab Jerman itu 2-0 di Bay Arena.

Juventus yang sudah pun layak lebih awal ke peringkat kalah mati tetap membawa skuad utama namun memberikan peluang kepada beberapa pemain simpanan dalam kesebelasan utama termasuk penjaga gol legenda, Gianluigi Buffon.

Pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan ke arah pintu gol lawan masing-masing, namun masih gagal untuk memecah kebuntuan.

Cristiano Ronaldo membuktikan kewibawaannya apabila menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-75 dengan menyudahkan hantaran lintang rendah Paulo Dybala dalam kotak penalti.

Pada penghujung perlawanan, Paulo Dybala terus cemerlang dengan memberi bantuan jaringan keduanya dan kali ini giliran Gonzalo Higuan pula mencetak nama selaku penjaring menerusi rembatan kaki kiri yang menewaskan Lukas Hradecky.

Keputusan itu menjadikan skuad bimbingan Maurizio Sarri itu cemerlang menamatkan saingan di peringkat kumpulan dengan menang lima daripada enam perlawanan sekaligus meletakkan mereka sebagai pasukan pilihan dalam undian peringkat kalah mati pada Isnin depan.