UCL 2019/20: 5 Bintang Muda Berbakat Besar Di Pentas Eropah

Felix

Selepas undian peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selesai awal pagi tadi, sudah tentu setiap pasukan giat memantapkan barisan pemain kelab masing-masing.

Peluang untuk bermain dalam pertandingan paling berprestij di dunia ini sudah pasti menjadi impian setiap pemain bola sepak lebih-lebih lagi pada usia muda.

Di sini pihak Semuanya BOLA menyenaraikan 5 pemain muda berbakat besar yang akan membuat penampilan dalam kejohanan Eropah ini.

1. Mason Mount (Chelsea)

Pemain yang dilahirkan di Portsmouth, England ini menyertai akademi Chelsea sejak berumur enam tahun dan terus bermain di setiap peringkat umur bersama kelab tersebut.

Malah beliau juga pernah bermain untuk pasukan B-18 Chelsea ketika masih berumur 15 tahun.

Selepas menandatangani kontrak profesional pertamanya bersama The Blues pada Julai 2017, Mount dipinjamkan selama semusim ke kelab Belanda, Vitesse.

Dalam tempoh itu, beliau membuat 39 penampilan dalam semua pertandingan, menjaringkan 14 gol, beberapa kali disenarai dalam Kesebelasan Terbaik Mingguan Eredivisie dan dipilih sebagai pemain terbaik kelab untuk musim tersebut.

Tahun berikutnya, bagi memberi lebih banyak pendedahan dan pengalaman, beliau dipinjamkan selama semusim ke Derby County yang ketika itu diuruskan oleh Frank Lampard.

Hatrik pertamanya di Pride Park hadir semasa kemenangan 4-0 menentang Bolton Wanderers dan beliau hampir membawa Derby membuat kemunculan semula ke Liga Perdana Inggeris (EPL) namun dikecewakan oleh Aston Villa dalam perlawanan akhir play-off di Wembley.

Mason Mount telah dipanggil untuk mewakili skuad senior England buat pertama kali oleh Gareth Southgate beberapa hari lepas.

2. Edson Alvarez (Ajax)

Menyertai Ajax sebagai ‘pengganti’ kepada Matthijs De Ligt bukanlah sesuatu yang mudah untuk seorang pemain muda yang langsung tiada pengalaman beraksi di pentas Eropah.

Menyertai Ajax dari Club America dengan nilai $17 juta, Alvarez sudah pun membuktikan keupayaannya dengan menjaringkan satu gol ketika membantu Ajax mara ke peringkat kumpulan UCL.

Pada tahun 2014, ketika berumur 16 tahun, Alvarez menyertai akademi Club America dan bermain untuk pasukan B-17. Tahun berikutnya, beliau diberi peluang beraksi untuk pasukan simpanan kelab Mexico itu yang bermain dalam liga divisyen kedua.

Seawal umur 18 tahun, karier bola sepak Alvarez bersama juara Mexico itu semakin berkembang apabila berupaya menembusi skuad senior dan mula bermain dalam beberapa perlawanan liga seterusnya menjaringkan gol.

3. Jann-Fiete Arp (Bayern Munich)

Pada 7 February 2019, Bayern Munich sudahpun mengumumkan mereka berjaya mendapatkan prospek muda dari Hamburg ini dan akan menyertai The Bavarians pada permulaan musim 2019/20.

Jann-Fiete Arp menyertai Hamburg pada tahun 2010 semasa berumur 10 tahun. Lima tahun kemudian, beliau sudah mula bermain secara tetap bersama skuad B-17 dan menjaringkan 37 gol dalam 45 penampilan.

Ketagihan beliau untuk menjaringkan gol diteruskan bersama pasukan B-19 dengan menjaringkan sembilan gol sebelum ditarik masuk ke skuad utama Hamburg bagi bermain dalam Bundesliga pada musim 2017/18.

Penyerang tinggi lampai ini juga merupakan penjaring terbanyak Piala Dunia B-17 2017 dan merangkul Anugerah Pingat Emas Fritz Walter sebagai pemain terbaik Jerman bagi kategori B-17.

Penyokong Bayern Munich sudah tentu berharap potensi yang dimiliki Arp dapat menambah bisa di bahagian serangan seterusnya untuk jangka masa penjang dapat menjadi pengganti Robert Lewandowski.

Menjadikan Harry Kane sebagai idolanya, Arp pernah menerima tawaran Chelsea pada musim perpindahan 2017 namun memutuskan untuk kekal bersama akademi Hamburg.

4. Luka Jovic (Real Madrid)

Selepas meluangkan dua tahun di Eintracht Frankfut secara pinjaman, Luka Jovic tiba di Real Madrid dengan perjanjian kontrak selama enam tahun dengan nilai perpindahan sebanyak €60 juta.

Meskipun baru berusia 21 tahun, kematangan serta ketajaman beliau di hadapan gol pada musim lepas menghasilkan 27 gol dan tujuh bantuan jaringan dalam semua pertanding peringkat domestik dan Eropah.

Statistik itu menarik minat kelab-kelab besar Eropah lain sebelum Real Madrid berjaya memuktamadkan pembeliannya.

Selepas hanya dua bulan di Santiago Barnebeu, pemain Serbia ini sudah pun disebut-sebut akan dipinjamkan ke kelab lain. Namun khabar angin itu dinafikan sendiri oleh Jovic dan yakin pengurus Real, Zinedine Zidane akan memberi kepercayaan kepadanya untuk mengahadapi cabaran musim ini.

5. Joao Felix (Atletico Madrid)

Joao Felix merupakan pemain remaja kedua termahal dalam sejarah selepas menyertai Atletico Madrid dari Benfica dengan harga £126 juta.

Menyertai akademi Porto pada 2008, anak kepada pasangan guru Carlos dan Carla Felix ini meluangkan lapan tahun dalam sistem pembangunan di kelab berkenaan sebelum dilepaskan atas alasan tubuh badannya yang dianggap terlalu kurus.

Menggemari cara permainan lagenda bola sepak Portugal, Rui Costa, Felix kemudiannya menyertai akademi Benfica pada tahun 2016 dan menampilkan prestasi menakjubkan sepanjang tiga tahun bersama skuad simpanan.

Penyerang berusia 19 tahun ini memulakan debut pertamanya bersama skuad utama Benfica pada permulaan musim lepas.

Hanya dalam tempoh tidak sampai setahun, beliau menjaringkan 15 gol dan melakukan sembilan bantuan jaringan dalam Liga Premier Portugal sekaligus membantu pasukannya menjuarai kejuaraan liga tersebut.

Dalam kejuaraan Liga Europa musim lepas, Felix menjadi pemain termuda dalam sejarah yang mencatat Hatrik ketika pasukannya membenam Eintracht Frankfurt 4-2 di peringkat suku akhir.

Beliau juga merupakan sebahagian daripada anggota pasukan Portugal yang meraoh kejuaraan sulung Liga Negara-Negara UEFA pada Jun lepas.

Sejak tiba di Wanda Metropolitano, Felix telah pun mempamerkan impak positif sepanjang aksi pra-musim dan dua perlawanan awal La Liga.

Adakah anda mempunyai calon-calon lain yang boleh memasuki senarai ini?

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply