UCL 2018/19: Malukan Bayern Munich Di Allianz Arena, Liverpool Tempah Slot Suku Akhir

Liverpool

Liverpool menempah slot ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah 2018/19 selepas berjaya menundukkan Bayern Munich 3-1 di Allianz Arena, awal pagi tadi.

Terikat tanpa jaringan di Anfield, reputasi hebat Bayern Munich langsung tidak menjadi masalah buat Liverpool pada perlawanan ini.

Separuh masa pertama

20 minit awal bagaimanapun menyaksikan perlawanan berlangsung dengan begitu hambar tanpa sebarang percubaan berbahaya yang terhasil.

Hanya percubaan daripada Thiago Alcantara dapat disaksikan pada minit ke-9 tetapi rembatan pemain kelahiran Sepanyol itu sekadar meliar melewati palang gol Liverpool.

Ledakan daripada Roberto Firmino di minit ke-25 juga belum mampu untuk menghasilkan sekurang-kurangnya percubaan tepat apabila rembatannya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol tuan rumah.

Berselang seminit kemudian, Sadio Mane membuatkan para penyokong Bayern Munich senyap buat seketika selepas beliau berjaya membuka tirai jaringan.

Berpunca daripada hantaran cantik dilakukan Virgil Van Dijk di kawasan sendiri, Mane mengawal bola dengan baik untuk memperdaya Manuel Neuer yang lebih awal keluar daripada posisinya.

MUNICH, GERMANY – MARCH 13: Sadio Mane of Liverpool scores his team’s first goal past Manuel Neuer of Bayern Munich during the UEFA Champions League Round of 16 Second Leg match between FC Bayern Muenchen and Liverpool at Allianz Arena on March 13, 2019 in Munich, Bavaria. (Photo by Alex Grimm/Bongarts/Getty Images)

Melihat kepada situasi tersebut, Mane melakukan sepakan ‘chip’ yang terus menerjah gawang tanpa mampu dihalang pertahanan Bayern Munich.

Jaringan tersebut jelas meningkatkan suhu permainan dengan kedua-dua pasukan mula mengorak langkah bagi menguji gawang lawan masing-masing.

Robert Lewandowski melepaskan rembatan padu dari luar kawasan penalti pada minit ke-29 tetapi ia langsung tidak memberikan kesukaran buat Alisson Becker untuk menafikan percubaan tersebut.

Liverpool hampir menambah jaringan kedua setelah Mane melorongkan bola kepada Andy Robertson dalam kawasan penalti Bayern Munich, namun rembatan bek kiri The Reds itu berjaya ditepis Neuer.

Jaringan penyamaan yang ditunggu-tunggu kem Bayern Munich menjelma pada minit ke-39 selepas Joel Matip tertolak bola ke gawang sendiri dalam usahanya menghalang hantaran lintang dilakukan Serge Gnabry.

Separuh masa kedua

Mohamed Salah menguji gawang Bayern Munich pada minit ke-50 menerusi rembatan luar kawasan penalti hasil serangan balas pantas yang dilancarkan, namun Neuer menjadi penghalang.

Gerakan cantik yang dimulakan Franck Ribery hampir menambah jaringan buat tuan rumah tetapi hantaran lintang cantik dilakukan Gnabry gagal disambar Lewandowski dan James Rodriguez yang berada dalam kawasan penalti Liverpool.

MUNICH, GERMANY – MARCH 13: Virgil van Dijk of Liverpool (4) scores his team’s second goal during the UEFA Champions League Round of 16 Second Leg match between FC Bayern Muenchen and Liverpool at Allianz Arena on March 13, 2019 in Munich, Bavaria. (Photo by Lars Baron/Bongarts/Getty Images)

Virgil Van Dijk kembali meletakkan skuad bimbingan Jurgen Klopp itu di hadapan pada minit ke-69 setelah berjaya menanduk kencang bola hasil sepakan penjuru yang diambil James Milner.

Selesa dengan kelebihan dua gol di tempat lawan langsung tidak dipandang mudah Milner dan rakan sepasukannya.

Ia terbukti apabila Mane menambah jaringan ketiga ketika perlawanan hanya berbaki enam minit untuk mematikan sisa perjuangan gergasi Jerman itu.

Dengan kemenangan 3-1 tersebut, Liverpool turut mengiringi tiga lagi wakil England iaitu Manchester United, Tottenham Hotspur dan Manchester City ke peringkat suku akhir.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN